KUCHING, 7 November: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 susulan pengumuman tarikh-tarikh penting pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketua Whip GPS, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, segala persiapan termasuk penyelarasan gerak kerja dan logistik telah disusun lebih awal bagi memastikan kelancaran jentera pilihan raya di seluruh negeri.
Menurutnya, persiapan tersebut bukan sahaja melibatkan PBB, malah turut merangkumi kerjasama erat antara semua parti komponen GPS bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada pilihan raya berkenaan.
“Persiapan pilihan raya untuk PBB, malah GPS sebenarnya sudah dilakukan kerana bagi kita, pilihan raya ini sekadar proses menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk menentukan siapa yang akan mentadbir negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Kerja sebenarnya kita lakukan sepanjang masa. Sejak pilihan raya lalu, kita sudah mula bekerja dan inilah proses demokrasi yang memerlukan kita mengadakan pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Padang Futsal Ibupejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.
Fadillah berkata, penyelarasan jentera pilihan raya GPS turut dilaksanakan menerusi struktur sedia ada yang dipengerusikan Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Katanya, semua parti komponen akan terus bekerjasama rapat, termasuk PBB yang turut membantu gerak kerja pilihan raya parti-parti lain dalam GPS.
“Semua gerak kerja sudah disusun atur, termasuk logistik dan sebagainya. Kita sudah bersedia dan hanya menunggu hari penamaan calon.
“Selepas itu, jentera akan mula turun padang untuk memastikan rakyat keluar mengundi, khususnya memberikan sokongan kepada GPS,” ujarnya.
Mengulas tempoh kempen selama 14 hari yang merupakan paling panjang dalam sejarah pilihan raya Sarawak, beliau berkata, GPS menghormati keputusan SPR yang mempunyai bidang kuasa menentukan tempoh berkenaan.
Menurutnya, tempoh kempen yang ditetapkan tidak menjadi halangan kepada GPS kerana jentera parti sentiasa bersedia menyesuaikan gerak kerja mengikut ketetapan SPR.
“Itu adalah bidang kuasa SPR. Sebagai sebuah parti, kita menghormati apa sahaja keputusan yang dibuat.
“Jika tempoh kempen 14 hari, kita bersedia untuk 14 hari. Jika 10 hari, kita bekerja selama 10 hari. Itu adalah kuasa SPR,” jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai spekulasi bahawa beliau mungkin bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini, Fadillah enggan mengulas lanjut.
“Itu spekulasi, tidak perlulah beri komen. Saya pun belum tahu lagi,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat




