LOS ANGELES, 7 November: Salah satu perpustakaan fiksyen peminat dalam talian paling popular di dunia tidak dapat diakses selama lebih seminggu selepas serangan siber memaksanya menutup sementara operasi, sekali gus menyebabkan jutaan peminat tidak dapat membaca karya kegemaran mereka.
Sejak 29 Oktober, pengguna yang cuba mengakses Archive of Our Own, atau lebih dikenali sebagai AO3, hanya dipaparkan dengan mesej bahawa laman web itu sedang menjalani penyelenggaraan.
“Perkara ini hangat diperkatakan di media sosial saya. Ramai yang berasa kehilangan,” kata Johanna Sarriot, penulis dan pengasas bersama kedai buku khusus karya fiksyen percintaan, Love Love Books, di Los Angeles kepada AFP.
Fiksyen peminat merujuk kepada karya yang ditulis oleh penulis amatur dengan menggunakan watak dan latar daripada buku, filem atau rancangan televisyen sedia ada.
Penulis menghasilkan pengakhiran cerita yang berbeza, mencipta kisah percintaan atau memberikan watak sampingan pengembaraan tersendiri sebelum berkongsi karya mereka secara percuma dalam talian.
Hobi yang dahulunya hanya diminati kelompok kecil itu kini menjadi landasan kepada industri penerbitan, sekali gus melahirkan karya popular seperti novel Fifty Shades of Grey tulisan E.L. James, yang pada asalnya merupakan fiksyen peminat berdasarkan siri Twilight, serta novel terlaris The Love Hypothesis karya Ali Hazelwood yang diinspirasikan daripada dunia Star Wars.
Dilancarkan pada 2008, AO3 kini menjadi platform utama bagi genre berkenaan, dengan lebih 11 juta pengguna berdaftar dan hampir 18 juta karya tersimpan di laman web itu.
Pada 2019, platform itu memenangi Anugerah Hugo bagi kategori Karya Berkaitan Terbaik, antara anugerah paling berprestij dalam bidang fiksyen sains.
“Kami mahu memastikan peminat mempunyai ruang untuk menghasilkan karya kreatif bukan komersial tanpa dibanjiri iklan, dikenakan penapisan semata-mata untuk memenuhi kehendak pengiklan atau data peribadi mereka dijual. Kami hanya mahu menyediakan ruang untuk komuniti peminat,” kata Profesor Sekolah Undang-undang Harvard, Rebecca Tushnet.
Beliau merupakan antara individu yang membantu menubuhkan Organization for Transformative Works (OTW), organisasi bukan berasaskan keuntungan yang mengendalikan laman web berkenaan.
AO3 tidak akan ditutup
Peminat karya fiksyen percintaan antara kelompok yang paling terkesan akibat gangguan perkhidmatan itu.
“Pembaca novel percintaan membaca dengan pantas dan dalam jumlah yang banyak,” kata Sarriot.
Menurut Sarriot, kesan gangguan berkenaan bukan sekadar kehilangan akses kepada sebuah laman web. Fiksyen peminat menjadi ruang bagi ramai penulis baharu mengasah kemahiran penulisan, selain membantu pembaca mengenali penulis lain.
“Penulis yang berpeluang mengasah bakat melalui fiksyen peminat serta menulis sebanyak mungkin dengan penuh minat tanpa sebarang kekangan berpotensi menghasilkan novel yang sangat baik,” katanya.
OTW berkata, pihaknya tidak percaya pangkalan data pengguna yang menyimpan nama pengguna, alamat e-mel dan kata laluan yang disulitkan telah dicuri, namun tidak dapat menolak kemungkinan berkenaan.
“AO3 tidak akan ditutup! Tiada kehilangan data dan kami berharap dapat memulihkan operasi laman web itu secepat mungkin,” kata Tushnet.
Organisasi bukan berasaskan keuntungan itu berharap laman web berkenaan dapat beroperasi semula dalam tempoh sebulan.
Bagi pembangun laman web, Yohan Mebrouk, tempoh pemulihan itu menunjukkan betapa seriusnya serangan berkenaan.
Beliau menjelaskan, kelewatan itu mungkin berpunca daripada kekurangan sumber atau keperluan untuk menaik taraf keseluruhan sistem perisian, yang disifatkannya sebagai “tugas yang amat besar”.
Laman web yang diuruskan dengan baik lazimnya mempunyai salinan sandaran pangkalan data, katanya.
“Jika mereka menguruskan sistem itu dengan betul, semua data pengguna akan dapat dipulihkan.”
Sementara menunggu laman web itu kembali beroperasi, Sarriot bersedia mencadangkan alternatif kepada pembaca yang kehilangan akses kepada platform berkenaan.
“Datanglah ke Love Love Books dan dapatkan sebuah novel percintaan!” katanya sambil menunjukkan deretan novel berkulit lembut di rak kedainya. – AFP





