KUCHING, 7 November: Pelaksanaan strategi Net Zero Sarawak dijangka membuka peluang pelaburan hijau bernilai RM347 bilion serta menyokong kira-kira 223,000 peluang pekerjaan dalam usaha negeri mencapai pelepasan karbon bersih negatif menjelang 2050.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, strategi itu turut menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 35 peratus sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan ekonomi mampan.
Menurutnya, pendekatan berkenaan membolehkan Sarawak meneruskan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri tanpa mengabaikan tanggungjawab memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.
“Net Zero bukan bermaksud tiada pembangunan, sebaliknya pembangunan bersih. Persoalannya ialah bagaimana kita mengimbangi pembangunan melalui penggunaan kaedah dan teknologi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Apresiasi Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar serta Pelancaran Pelan Karbon Net Zero di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata, strategi berkenaan berteraskan 15 keutamaan strategik yang merangkumi lapan sektor utama penyumbang pelepasan karbon serta tujuh pemudah cara rentas sektor.
Katanya, antara sektor yang diberi perhatian termasuk tenaga, industri, pengangkutan, bangunan, pengurusan sisa buangan dan penggunaan tanah yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan pelepasan karbon.
“Sarawak mempunyai kelebihan semula jadi menerusi kawasan hutan, tanah gambut dan hutan paya bakau yang berperanan menyerap karbon, selain melindungi biodiversiti, sumber air serta kehidupan masyarakat setempat,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat turut meningkatkan permintaan terhadap tenaga, pengeluaran industri, pengangkutan dan pembangunan bandar, sekali gus memerlukan perancangan rapi bagi mengawal pelepasan karbon.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri terus memperkukuh campuran tenaga menerusi penggunaan sumber seperti hidroelektrik, gas, solar, biojisim dan hidrogen bagi menyokong keperluan pembangunan masa hadapan.
Beliau berkata, Sarawak turut meneroka penggunaan teknologi penyimpanan dan penggunaan karbon serta perdagangan karbon sebagai antara pendekatan mengurus pelepasan karbon secara lebih berkesan.
Pada masa sama, Abang Johari menegaskan bahawa pengurusan sisa buangan juga perlu dilihat sebagai peluang ekonomi melalui usaha memanfaatkan bahan buangan sebagai sumber yang mempunyai nilai.
Jelasnya, usaha itu selari dengan pendekatan kerajaan negeri untuk mengoptimumkan penggunaan sumber serta memastikan pembangunan ekonomi dapat diteruskan secara bertanggungjawab.
“Pelaksanaan strategi Net Zero Sarawak juga akan menyumbang kepada komitmen Malaysia dalam mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih serta memenuhi tanggungjawab terhadap agenda perubahan iklim global,” katanya.
Oleh Adele Rissa





