Pelaburan teknologi tinggi pacu sasaran KDNK RM282 bilion Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada majlis Apresiasi Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar serta Pelancaran Pelan Karbon Net Zero di Kuching, malam tadi. Foto Ukas

KUCHING, 7 November: Kemasukan pelaburan strategik dalam sektor teknologi tinggi dan industri generasi baharu dijangka menjadi pemacu utama Sarawak mencapai sasaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) RM282 bilion.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keyakinan itu disokong dasar pembangunan negeri yang memberi tumpuan kepada kepelbagaian ekonomi serta penerokaan sektor baharu bernilai tinggi.

Menurutnya, antara pelaburan yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri ialah cadangan pelaburan SoftBank bernilai RM50 bilion, selain peluang pelaburan lain yang sedang diteroka.

Beliau berkata, perkembangan pelaburan itu berpotensi menjana kesan limpahan ekonomi sehingga RM400 bilion menerusi kesan pengganda aktiviti ekonomi.

“Saya yakin kita mampu mencapai sasaran KDNK RM282 bilion berdasarkan dasar semasa serta cadangan pelaburan yang bakal dibawa masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar serta Pelancaran Pelan Karbon Net Zero di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Abang Johari turut mendedahkan bahawa dua dana kekayaan berdaulat, masing-masing dari Kanada dan China, telah mengadakan pertemuan dengannya bagi meneroka peluang pelaburan dalam sektor teknologi tinggi.

Katanya, perbincangan itu merangkumi potensi pembangunan industri generasi baharu, termasuk pembuatan mikrocip yang dilihat mampu memperluas asas perindustrian Sarawak.

“Walaupun peluang pelaburan berkenaan masih dalam peringkat penerokaan, masa depan ekonomi negeri dilihat semakin cerah dengan minat yang ditunjukkan pelabur antarabangsa,” ujarnya. 

Beliau berkata, Sarawak sebelum ini banyak bergantung kepada sektor berasaskan sumber asli, pertanian, perhutanan dan perkayuan sebelum mengambil langkah mempelbagaikan ekonomi menerusi sektor pembuatan.

Katanya, peralihan kepada industri berteknologi tinggi merupakan kesinambungan usaha tersebut bagi memastikan ekonomi negeri terus berkembang dan berdaya saing.

Pada masa sama, Abang Johari menegaskan bahawa pembangunan modal insan perlu diberi keutamaan bagi memastikan rakyat tempatan mampu memenuhi keperluan industri baharu.

Beliau turut menekankan kepentingan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar supaya pertumbuhan negeri dapat dilaksanakan secara mampan.

Oleh Adele Rissa