LIVERPOOL, United Kingdom, 7 November: Penyerang Thierno Barry meneruskan prestasi cemerlang apabila menjaringkan dua gol untuk membantu Everton menewaskan Coventry 3-1, sekali gus melonjak ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pasukan kendalian David Moyes itu ketinggalan selepas Yann Gboho menjaringkan gol pada awal babak kedua di Stadium Hill Dickinson.
Bagaimanapun, Barry membuktikan ketajamannya apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit untuk meletakkan Everton di hadapan.
Moyes minggu ini berkata bintang Manchester City, Erling Haaland, “sepatutnya berasa bimbang” dengan kemungkinan Barry mengambil alih kedudukannya sebagai penyerang paling berbisa dalam EPL.
Walaupun kenyataan itu mungkin agak keterlaluan, Barry sudah menjaringkan 10 gol musim ini, mengatasi jumlah keseluruhan gol yang dicatatkannya sepanjang musim 2025-2026.

Prestasi kurang memberangsangkan pada musim pertamanya bersama Everton selepas menyertai kelab itu dari Villarreal kini semakin dilupakan apabila pemain berusia 24 tahun itu kembali menemui sentuhan terbaik dengan menjaringkan enam gol dalam tujuh penampilan terakhirnya dalam semua pertandingan.
Kiernan Dewsbury-Hall menambah jaringan pada penghujung perlawanan untuk melengkapkan kemenangan ketiga berturut-turut Everton dalam semua pertandingan.
Kemenangan itu turut menjadi detik bermakna buat Moyes apabila beliau menyamai rekod Harry Catterick dengan mengendalikan Everton sebanyak 592 perlawanan.
Catterick pernah membantu Everton menjuarai Divisyen Satu dan Piala FA. Bagaimanapun, Moyes yang kini menjalani penggal kedua sebagai pengurus kelab itu masih belum berjaya menamatkan kemarau kejuaraan Everton yang berlarutan sejak 1995.
Prestasi sepanjang 10 hari lalu menunjukkan Everton semakin berada di landasan yang tepat.
Dua kemenangan ke atas Newcastle dalam Piala Liga dan EPL disusuli kejayaan menewaskan Coventry. Ketiga-tiga kemenangan itu dicapai tanpa khidmat Jack Grealish yang digantung perlawanan akibat pelanggaran disiplin selepas dilaporkan tidak menghadiri sesi latihan.
Barry terus berbisa
Pengurus Coventry, Frank Lampard, meluahkan kekecewaan apabila dua rayuan pasukannya untuk mendapatkan sepakan penalti ditolak, sedangkan keputusan itu berpotensi mengubah perjalanan perlawanan.

Lampard, yang pernah mengendalikan Everton dari Januari 2022 hingga Januari 2023, kini menyaksikan pasukan kendaliannya yang berada di tangga ke-16 mengalami kekalahan ketiga dalam empat perlawanan terakhir.
Dalam pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan sejak 2001, Coventry sepatutnya memperoleh gol pendahuluan apabila Tatsuhiro Sakamoto melakukan hantaran tepat kepada Jack Rudoni. Namun, percubaan pemain tengah itu tepat ke arah penjaga gol Jordan Pickford.
Pertahanan Everton, James Tarkowski, terlepas daripada sebarang tindakan selepas menarik rambut Caleb Yirenkyi, tindakan yang menurut Coventry sepatutnya menyaksikan pasukan itu diberikan sepakan penalti dan pemain berkenaan dilayangkan kad merah.
Coventry sekali lagi kecewa dengan keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) apabila tolakan Vitaliy Mykolenko terhadap Taiwo Awoniyi sejurus selepas rehat babak pertama tidak menghasilkan sepakan penalti.
Coventry akhirnya mendahului pada minit ke-52 apabila hantaran Rudoni melepasi kawalan longgar pertahanan Everton sebelum menemui Gboho, yang berjaya menolak bola melepasi Pickford dari jarak enam ela walaupun dikawal tiga pemain pertahanan.
Bagaimanapun, gol pertama pemain tengah Ivory Coast itu sejak menyertai Coventry dari Toulouse pada jendela perpindahan musim panas disamakan oleh Barry empat minit kemudian.
Mykolenko melakukan hantaran lintang ke dalam kawasan penalti Coventry sebelum Barry yang tidak dikawal menanduk bola dengan kencang melepasi penjaga gol Carl Rushworth dari jarak dekat.
Everton terus menguasai permainan dan mendahului pada minit ke-62.
Percubaan pertama Barry berjaya ditepis, namun penyerang dari Perancis itu pantas menyambar bola muntah untuk menjaringkan gol walaupun pemain Coventry membantah kerana mendakwa berlaku sentuhan tangan.
Pada minit ke-81, Barry bertindak sebagai penyumbang hantaran gol apabila melorongkan bola kepada Dewsbury-Hall, yang melepaskan rembatan kencang dari sudut sukar untuk menewaskan Rushworth sekali gus melengkapkan kebangkitan Everton. – AFP





