PETRA JAYA, 6 November: Keputusan tidak menamakan semula penyandang veteran sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bukan semestinya disebabkan prestasi atau kemampuan mereka memenangi pilihan raya, sebaliknya bagi membuka ruang kepada pembentukan generasi kepimpinan baharu.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, parti perlu memulakan proses membimbing pemimpin muda dari sekarang bagi memastikan Sarawak mempunyai barisan kepimpinan berpengalaman untuk masa depan.
Menurutnya, pembentukan seseorang pemimpin memerlukan tempoh panjang, malah boleh mengambil masa antara 15 hingga 20 tahun untuk memperoleh pengalaman dan kebijaksanaan dalam menerajui kepimpinan.
“Kadang-kadang seseorang penyandang yang tidak dicalonkan semula bukan kerana mereka tidak bagus, tetapi kerana kita perlu membentuk pemimpin baharu dan pemimpin muda.
“Premier perlu melihat bukan sahaja untuk penggal ini, tetapi juga masa depan Sarawak. Proses membimbing pemimpin baharu perlu bermula sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya, hari ini.
Jelasnya, PBB telah memberikan mandat kepada Premier Sarawak yang juga Presiden parti, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk menentukan senarai akhir calon yang akan bertanding pada pilihan raya kali ini.
Katanya, kebanyakan nama calon bagi kawasan yang ditandingi PBB dipercayai sudah dikenal pasti, namun beberapa kawasan dijangka menyaksikan kemunculan muka baharu.
Abdul Karim berkata, pemilihan calon bukan hanya berasaskan kebolehmenangan kerana beliau yakin kekuatan jentera dan sokongan akar umbi PBB di kawasan tertentu masih kukuh.
Dalam proses itu, GPS turut meneliti beberapa kriteria penting termasuk tahap kesihatan, rekod jenayah, kesalahan berkaitan rasuah dan status kebankrapan bakal calon bagi memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan serta mampu menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, pasukan perundangan parti akan membuat semakan status kebankrapan bagi mengelakkan calon berdepan bantahan pihak lawan ketika hari penamaan calon.
“Mana-mana parti, termasuk GPS, sebelum seseorang itu disenarai pendek untuk bertanding, kita akan membuat pemeriksaan.
“Kesihatan dan juga rekod rasuah, sama ada mereka pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah atau pernah didapati bersalah, semua ini akan diambil kira,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penilaian calon merangkumi latar belakang akademik, pergaulan, pengalaman serta kemampuan individu memikul tanggungjawab menjaga kebajikan penduduk sepanjang tempoh perkhidmatan.
Mengulas mengenai kemunculan beberapa individu yang mula berkempen di kawasan tertentu menerusi media sosial, Abdul Karim berkata tindakan itu merupakan sebahagian daripada persaingan untuk mendapatkan peluang dipilih sebagai calon.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan mana-mana individu yang tidak terpilih supaya menerima keputusan parti dan memberikan sokongan kepada calon yang diberikan mandat.
Katanya, keputusan akhir pemilihan calon akan dibuat oleh Abang Johari selepas mengambil kira kajian, tinjauan serta pandangan masyarakat di kawasan masing-masing, termasuk golongan veteran, wanita, belia dan pemuda.
Beliau turut menjangkakan beberapa penyandang tidak akan dicalonkan semula, namun menegaskan keputusan itu terletak sepenuhnya di bawah pertimbangan Presiden parti.
Abdul Karim berkata, pengumuman rasmi calon PBB dan GPS lazimnya hanya diketahui apabila watikah pelantikan diserahkan kepada mereka sebelum hari penamaan calon.
Oleh Afiq Sallehi





