PETALING JAYA, 5 November: Gabungan Parti Sarawak (GPS) setakat ini belum memutuskan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang juga Premier Sarawak, berkata perkara itu belum dimuktamadkan kerana hari penamaan calon dan pengundian belum ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kita tak tahu bila penamaan calon, jadi belum putuslah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata GPS memberi mandat penuh kepada Abang Johari untuk menentukan calon gabungan itu pada PRN berkenaan.
SPR akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan tarikh-tarikh penting dan perkara berkaitan PRN itu susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 26 Oktober lepas.
GPS dianggotai empat parti komponen, iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). – Bernama



