AKPS teliti kesiapsiagaan operasi Lapangan Terbang Sibu

Facebook
WhatsApp
KETUA Pengarah AKPS, CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain meninjau kesiapsiagaan operasi dan keupayaan penguatkuasaan di Lapangan Terbang Sibu bagi memastikan kawalan keselamatan pintu masuk udara negara terus diperkukuh. Foto AKPS

SIBU, 5 November: Kesiapsiagaan operasi dan keupayaan penguatkuasaan di Lapangan Terbang Sibu menjadi tumpuan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam usaha memastikan keselamatan pintu masuk udara negara terus diperkukuh.

Ketua Pengarah AKPS, CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengadakan lawatan kerja ke lapangan terbang berkenaan hari ini bagi meninjau keberkesanan pelaksanaan kawalan serta tahap kesiapsiagaan operasi di pintu masuk udara itu.

LAWATAN kerja AKPS ke Lapangan Terbang Sibu turut memberi tumpuan kepada penyelarasan antara agensi serta keberkesanan pemeriksaan penumpang dan kargo. Foto AKPS

Menurut kenyataan di laman rasmi Facebook AKPS, lawatan tersebut turut memberi penekanan kepada aspek kesalinghubungan udara, penyelarasan antara agensi serta pemeriksaan penumpang dan kargo.

Selain itu, pengukuhan kawalan keselamatan berasaskan risikan dan profil risiko turut menjadi antara perkara yang diberi perhatian dalam memastikan pergerakan keluar masuk penumpang serta barangan dapat dikawal dengan berkesan.

PENGUKUHAN kawalan keselamatan berasaskan risikan dan profil risiko menjadi antara aspek yang diberi perhatian AKPS dalam memastikan kelancaran pergerakan penumpang dan barangan di Lapangan Terbang Sibu. Foto AKPS

Lapangan Terbang Sibu merupakan antara pintu perhubungan udara strategik di Sarawak yang menghubungkan wilayah tengah dengan pusat ekonomi utama di peringkat domestik dan serantau.

Seiring perkembangan rangkaian perhubungan udara serta potensi pertumbuhan ekonomi di wilayah tengah Sarawak, AKPS komited memastikan kelancaran pergerakan penumpang dan barangan terus diseimbangkan dengan keperluan keselamatan serta kedaulatan negara.

Oleh Afiq Sallehi