SIMANGGANG, 5 November: Seramai lima Orang Bebas Berlesen (OBB) dari Penjara Pusat Sri Aman diberi peluang menjalani kehidupan baharu menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Madani Yakin (Kepulangan Yang Dinanti) sempena sambutan Hari Deepavali 2026.
Menurut kenyataan Penjara Pusat Sri Aman, program pelepasan itu berlangsung di Dewan Serbaguna, Penjara Pusat Sri Aman, dengan melibatkan lima OBB.
Daripada jumlah tersebut, tiga OBB diserahkan kepada majikan masing-masing, manakala dua lagi diserahkan kepada ahli keluarga.
Sesi taklimat dan penerangan mengenai syarat-syarat PBSL disampaikan oleh Timbalan Pengarah Penjara Pusat Sri Aman, TPP Awang Azizzan Hasbi.
Program berkenaan bertujuan memberi peluang kepada banduan menjalani proses pemulihan dalam komuniti melalui pemantauan dan sokongan pihak berkaitan.
Inisiatif itu juga merupakan antara usaha mengurangkan kesesakan penghuni di institusi penjara.
Melalui PBSL, peserta berpeluang membina semula kehidupan, mendapatkan sokongan keluarga serta meneruskan pekerjaan sebagai persediaan untuk kembali menyumbang kepada masyarakat.
Sesi penyerahan, taklimat dan penerangan syarat-syarat pelepasan berlangsung dengan teratur dan jayanya.
Pelaksanaan program itu memperlihatkan komitmen Jabatan Penjara Malaysia dalam memperkukuh pendekatan pemulihan dan memberi peluang kedua kepada individu yang ingin berubah.
Program berkenaan diharap menjadi titik permulaan kepada kehidupan lebih baik buat semua OBB yang terlibat, sekali gus membantu mereka kembali ke pangkuan masyarakat dengan penuh keyakinan dan tanggungjawab.
Oleh Adi Safarman



