SARATOK, 5 November: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok akan terus mempergiat usaha membanteras pelbagai bentuk jenayah termasuk judi dalam talian, penyalahgunaan dadah dan jenayah komersial bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata usaha tersebut memerlukan komitmen tinggi daripada seluruh warga kerja IPD Saratok dalam melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, berintegriti dan semangat berpasukan.
Beliau berkata, perhimpunan bulanan yang diadakan bukan sekadar platform untuk menyampaikan amanat, malah menjadi medium penting dalam memperkukuh disiplin, integriti dan komitmen setiap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Bulan ini saya meletakkan isu jenayah sebagai fokus utama yang perlu ditangani sebaik mungkin. Semua warga kerja IPD Saratok perlu memastikan kadar indeks jenayah terus menurun secara konsisten.
“Setiap pegawai dan anggota hendaklah meningkatkan rondaan, memperkemaskan risikan serta mengambil tindakan segera terhadap setiap maklumat berkaitan kegiatan jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Ketua Polis Daerah Saratok bagi Bulan November 2026 yang berlangsung di Padang Kawad IPD Saratok, hari ini.
Menurut DSP Mathew, operasi penguatkuasaan di seluruh Daerah Saratok perlu dipergiatkan, khususnya operasi bersepadu yang melibatkan kerjasama antara bahagian, balai polis dan agensi penguat kuasa berkaitan.
Katanya, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan tindakan yang lebih menyeluruh, berkesan dan berterusan dalam membendung kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Dalam pada itu, DSP Mathew turut menegaskan bahawa kegiatan judi dalam talian mesti dibanteras secara tegas dan menyeluruh dengan kerjasama semua pihak melalui penyaluran maklumat serta tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau turut memberi perhatian serius terhadap isu penyalahgunaan dadah yang disifatkan perlu ditangani hingga ke akar umbi menerusi pendekatan penguatkuasaan, risikan, pencegahan serta kerjasama erat masyarakat.
Menyentuh aspek keselamatan jalan raya, beliau menyeru agar penguatkuasaan undang-undang lalu lintas terus dipertingkatkan di samping usaha mendidik pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan, memandu secara berhemah dan mengutamakan keselamatan.
Selain itu, beliau berkata kesedaran masyarakat terhadap jenayah komersial terutama penipuan dalam talian atau scam perlu terus dipertingkatkan memandangkan jenayah berkenaan semakin membimbangkan.
“Orang ramai hendaklah sentiasa berwaspada, tidak mudah mempercayai tawaran yang mencurigakan serta membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum menyerahkan wang atau maklumat peribadi,” ujarnya.
Beliau turut menyeru masyarakat Saratok agar terus bekerjasama dengan PDRM dengan menyalurkan maklumat yang tepat dan segera bagi membantu membendung jenayah demi menjamin keamanan serta kesejahteraan komuniti setempat.
Pada majlis yang sama, DSP Mathew turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada penerima Sijil Pesuruhjaya Polis Sarawak serta Sijil Penghargaan Ketua Polis Daerah Saratok atas kecemerlangan dan dedikasi mereka dalam menjalankan tugas.
Menurutnya, pengiktirafan tersebut menjadi bukti komitmen tinggi warga polis serta diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga IPD Saratok untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Oleh Adi Safarman




