77 lot kediaman dirancang dalam pembangunan SPK Sungai Ladong

Facebook
WhatsApp
PEMBANGUNAN Skim Pembesaran Kampung (SPK) Sungai Ladong melibatkan kawasan seluas 8.29 hektar atau 20.49 ekar dengan perancangan penyediaan 77 lot kediaman bagi memperluas kemudahan penempatan di kawasan berkenaan. Foto Ukas

SEBUYAU, 5 November: Pembangunan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Sungai Ladong melibatkan kawasan seluas 8.29 hektar dengan perancangan penyediaan 77 lot kediaman bagi memperluas kemudahan penempatan di kawasan berkenaan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan pada Khamis bagi meninjau perkembangan pelaksanaan serta perancangan pembangunan kawasan tersebut.

Setiap lot kediaman yang dirancang berukuran 15 meter x 27 meter, bersamaan keluasan 405 meter persegi menurut kenyataan di laman rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

DATO Sri Julaihi Narawi berkongsi penerangan mengenai pembangunan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Sungai Ladong. Foto Ukas

Secara keseluruhan, 77 lot itu melibatkan keluasan kira-kira 3.12 hektar, manakala kawasan selebihnya turut diperuntukkan bagi penyediaan infrastruktur, rizab jalan, kemudahan kerajaan dan kawasan keagamaan.

Lawatan itu turut disusuli taklimat oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak mengenai status projek, skop pembangunan serta komponen infrastruktur yang dirancang.

Antara kemudahan sokongan yang dirancang ialah pembinaan pencawang elektrik dan kolam takungan terbuka seluas kira-kira 0.61 hektar bagi memenuhi keperluan utiliti serta menyokong sistem saliran kawasan pembangunan.

Selain itu, kira-kira 0.49 hektar turut diperuntukkan sebagai rizab kerajaan, manakala kawasan keagamaan disediakan sebagai sebahagian daripada perancangan kemudahan untuk komuniti setempat.

PEMBANGUNAN SPK Sungai Ladong turut merangkumi penyediaan rizab jalan, rizab kerajaan, kawasan keagamaan, pencawang elektrik serta kolam takungan terbuka seluas kira-kira 1.5 ekar bagi menyokong keperluan penduduk setempat. Foto Ukas

Dari segi proses kelulusan, projek SPK Sungai Ladong memperoleh kelulusan SPA pada 10 Oktober 2023, sebelum kelulusan DLS direkodkan pada 31 Mac 2026.

Ketika ini, kerja pembangunan infrastruktur dan penyediaan kawasan lot sedang dilaksanakan bagi merealisasikan projek penempatan berkenaan.

Oleh Afiq Sallehi