Sarawak perlukan pembina peluang, bukan sekadar pencari peluang – Uggah

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas menyampaikan sijil kepada graduan. Foto Douglas Uggah Embas Official

KOTA SAMARAHAN, 5 November: Sarawak memerlukan lebih ramai graduan yang bukan sahaja berilmu dan berdaya saing, tetapi berupaya mencipta peluang, membawa perubahan serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kejayaan sebenar seseorang graduan bukan sekadar diukur melalui pencapaian peribadi, sebaliknya sejauh mana ilmu dan kepakaran yang dimiliki mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan generasi akan datang.

Menurut beliau, Sarawak kini sedang bergerak ke arah pembangunan yang lebih menyeluruh menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang memberi penekanan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian.

Katanya, pembangunan negeri tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kemajuan infrastruktur atau pertumbuhan ekonomi, tetapi turut mengambil kira sejauh mana rakyat di bandar, kawasan pesisir, rumah panjang dan pedalaman menikmati manfaatnya.

“Tiada pembangunan yang lengkap jika infrastrukturnya maju tetapi kemampuan rakyat dan institusinya tertinggal,” katanya.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas bergambar kenangan pada majlis Konvokesyen Unimas Kali Ke-30 di Arena Gemilang, DeTAR Putra. Foto Douglas Uggah Embas Official

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Kali Ke-30 di Arena Gemilang, DeTAR Putra, hari ini.

Uggah yang juga Pro-Canselor Unimas berkata, pendidikan tinggi mempunyai peranan yang sama penting dalam membuka ruang kemajuan apabila ilmu menjadi penghubung antara kemampuan seseorang dengan peluang yang sebelum ini tidak pernah dimiliki.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para graduan bahawa ijazah yang diterima bukanlah noktah kepada perjalanan pendidikan, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab lebih besar untuk menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Beliau berkata, Sarawak memerlukan tenaga profesional dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, pendidikan, perubatan, perundangan, ekonomi, teknologi, penyelidikan dan kepimpinan komuniti bagi merealisasikan aspirasi pembangunan negeri.

Dalam bidang kesihatan, katanya, kerajaan Sarawak terus komited menangani kekurangan doktor khususnya di kawasan pedalaman menerusi Biasiswa Program Perubatan Khas Yayasan Sarawak yang diperkenalkan pada 2017.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa berucap pada majlis Konvokesyen UNIMAS Kali Ke-30. Foto Douglas Uggah Embas Official

Memasuki fasa kedua pada 2027, seramai 80 pelajar dijangka menerima manfaat daripada program penajaan itu sebagai sebahagian usaha mencapai sasaran melahirkan 400 graduan perubatan menjelang 2032.

Uggah turut menegaskan kepentingan memperkukuh peranan Unimas sebagai rakan pemikir pembangunan Sarawak, khususnya dalam menyediakan penyelidikan dan kepakaran bagi menangani isu pengangkutan luar bandar, bekalan utiliti, produktiviti komuniti, pembangunan bakat serta pemeliharaan warisan.

Beliau turut menyentuh pengiktirafan Sarawak Delta sebagai UNESCO Global Geopark pada April 2026 yang membuka lebih banyak peluang dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pembangunan komuniti setempat.

Katanya, kerjasama antara kerajaan, universiti dan industri juga perlu menghasilkan manfaat yang boleh diukur, bukan sekadar melalui memorandum persefahaman, tetapi menerusi kemahiran yang diperoleh pelajar, masalah yang diselesaikan dan peluang pekerjaan yang diwujudkan.

Uggah menyeru para graduan supaya tidak hanya mengejar kejayaan sendiri, sebaliknya menjadi individu yang mampu membuka jalan dan peluang kepada orang lain.

“Sarawak memerlukan pembina peluang, bukan hanya pencari peluang.

“Tidak semua orang akan membina jambatan daripada konkrit dan keluli. Tetapi setiap seorang daripada kita boleh menjadi penghubung antara ilmu dengan tindakan, antara kemajuan dengan keadilan peluang, dan antara kejayaan diri dengan kesejahteraan orang lain,” katanya.

Beliau berharap Unimas terus menjadi rakan strategik yang diyakini dalam membina Sarawak yang makmur serta menyumbang kepada kesejahteraan Malaysia.

Oleh Adi Safarman