KUCHING, 5 November: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menarik balik cadangan mengurangkan waktu pengajaran Bahasa Cina bagi murid Tahun Satu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) daripada 15 waktu kepada 10 waktu seminggu.
Beliau berkata pengurangan sebanyak satu pertiga daripada waktu pengajaran sedia ada itu merupakan perkara serius kerana Bahasa Cina bukan sekadar satu mata pelajaran, sebaliknya merupakan asas penting kepada identiti dan pendidikan di SJKC.
Menurutnya, tahun awal persekolahan amat penting dalam membina kemahiran membaca, menulis dan berkomunikasi dalam kalangan kanak-kanak. Justeru, pengurangan waktu pembelajaran Bahasa Cina berisiko menjejaskan penguasaan bahasa mereka.

“Kementerian tidak sepatutnya membuat keputusan yang memberi kesan langsung kepada masa depan pendidikan vernakular tanpa mengambil kira kebimbangan dan pandangan komuniti pendidikan,” katanya.
Beliau menyatakan sokongan kepada Hua Zong, Jiao Zong, ibu bapa, pendidik serta masyarakat Cina secara keseluruhan dalam mendesak Kerajaan Persekutuan menarik balik cadangan itu dengan segera dan mengekalkan 15 waktu pengajaran Bahasa Cina seminggu seperti sedia ada.
“Komitmen ini mesti membawa makna yang lebih besar daripada sekadar janji pilihan raya dan ucapan politik. Memegang jawatan dalam Kerajaan Persekutuan datang bersama tanggungjawab untuk mempengaruhi keputusan dasar yang memberi kesan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau menggesa Timbalan Menteri Pendidikan supaya menyatakan pendirian yang jelas dan tegas menolak cadangan tersebut, sambil menegaskan bahawa masyarakat Cina memerlukan tindakan muktamad dan bukannya sekadar penjelasan, permohonan lanjutan masa atau janji untuk meneruskan perbincangan.
Yap turut berkata hasrat Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk memasuki Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi menyediakan semak dan imbang terhadap kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu disertai akauntabiliti dalam kepimpinan parti itu sendiri.
“Jika DAP mahu dipandang serius sebagai suara yang memperjuangkan akauntabiliti di Sarawak, parti itu perlu terlebih dahulu membuktikan keupayaannya untuk mewakili dan mempertahankan kepentingan masyarakat di peringkat Persekutuan, khususnya apabila dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan sendiri memberi kesan kepada pendidikan Cina,” katanya.
Sebaliknya, Yap berkata kerajaan GPS telah membuktikan komitmennya terhadap pendidikan Cina melalui bantuan kewangan secara konsisten kepada sekolah menengah persendirian Cina, pemberian tanah bagi pembangunan sekolah serta pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Beliau berkata pemegang UEC yang memenuhi syarat layak memohon untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam Sarawak serta mendapatkan pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Katanya, GPS turut mengiktiraf peranan penting sekolah vernakular Cina dalam menyediakan peluang pendidikan, memelihara warisan budaya dan bahasa serta memperkukuh masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Yap menegaskan bahawa isu berkenaan tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut politik kerana ia melibatkan peluang pendidikan anak-anak, aspirasi ibu bapa dan masa depan pendidikan vernakular Cina di Malaysia.
“SUPP bertanggungjawab untuk bersuara setiap kali kepentingan komuniti pendidikan Cina terancam. Kami akan terus bersama Hua Zong, Jiao Zong, lembaga pengelola sekolah, ibu bapa dan pendidik dalam mempertahankan kedudukan sewajarnya pendidikan vernakular Cina,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya meneruskan cadangan tersebut sehingga menjejaskan pendidikan bahasa anak-anak.
” Pendirian kami jelas, jangan kurangkan mutu pendidikan Cina. Jangan kompromi masa depan anak-anak kita. Tarik balik cadangan itu dan kekalkan 15 waktu pengajaran Bahasa Cina seminggu di SJKC,” katanya.
Oleh Connie Chieng




