KOTA SAMARAHAN, 5 November: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Sentosa, Batu 8, Jalan Penrissen Lama, pada 3 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu kira-kira 12.51 tengah hari pada 4 November. Remaja berkenaan dikenal pasti sebagai Christa Emma Jeraie.
Menurutnya, remaja itu dipercayai keluar dari rumah antara tengah malam hingga 6.00 pagi pada 3 November dan masih belum pulang. Berdasarkan maklumat yang diterima, remaja itu sebelum ini memaklumkan kepada pengadu bahawa dia akan pulang pada sebelah malam.
Bagaimanapun, terdapat kemungkinan dia telah pergi ke Sibu dengan menaiki bas. Remaja berkenaan mempunyai tubuh berisi, kulit sawo matang, rambut hitam panjang melepasi bahu serta mata sepet. Dia merupakan pelajar SMK Wira Penrissen.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan remaja itu diminta menghubungi Balai Polis Kota Samarahan di talian 082-662101, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan di talian 082-662300 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Connie Chieng




