Pengalaman jurubahasa isyarat veteran bantu OKU fahami pertuduhan

Facebook
WhatsApp
TERTUDUH diiringi keluar dari Mahkamah Majistret setelah dijatuhi hukuman bagi pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap ibu kandungnya.

SIBU, 4 November: Pengalaman lebih tiga dekad sebagai jurubahasa isyarat mahkamah dimanfaatkan Tan Lee Bee bagi membantu individu orang kurang upaya (OKU) memahami prosiding perundangan, termasuk ketika berdepan pertuduhan jenayah.

Khidmat jurubahasa isyarat veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu mendapat perhatian di Mahkamah Majistret Sibu hari ini apabila beliau membantu tertuduh yang berusia 48 tahun, memahami pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap ibu kandungnya.

Tan, yang merupakan jurubahasa isyarat mahkamah pertama di Malaysia sejak 1994, menterjemahkan pertuduhan berkenaan kepada tertuduh yang mempunyai ketidakupayaan pendengaran dan pertuturan.

Selepas memahami pertuduhan itu, tertuduh mengaku bersalah sebelum Majistret Romario Jonoi menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa mulai tarikh sabitan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap ibu kandungnya dengan memukul tubuh mangsa di sebuah rumah tidak bernombor di Bukit Lan kira-kira 9.00 malam pada 12 Mei 2026.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku selepas mangsa enggan memberikan wang kepada tertuduh, menyebabkan wanita berusia 77 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kiri kepala dan tangan kiri.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Dalam perkembangan berasingan, mahkamah menetapkan 29 Disember ini untuk sebutan kes terhadap tertuduh bagi pertuduhan membunuh ibu kandungnya di rumah yang sama pada 25 Jun 2026.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh mangsa dengan menikamnya menggunakan sebilah gunting kira-kira 1.50 tengah hari pada tarikh berkenaan.

Tarikh sebutan itu ditetapkan sementara menunggu laporan kimia berhubung kes berkenaan.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah juga boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Oleh Akun Giman