KUCHING, 3 November: Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii menggesa Menteri Kesihatan menjelaskan pendirian kerajaan berhubung cadangan larangan vape susulan laporan bahawa Lembaga Racun sekali lagi meluluskan cadangan untuk mengecualikan nikotin cecair daripada Senarai Racun.
Beliau berkata perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada kerajaan masih komited untuk melaksanakan larangan vape, memandangkan pengecualian berkenaan berpotensi membolehkan produk vape bernikotin dijual secara terbuka semula selepas diwartakan.
Katanya, beliau telah membangkitkan perkara itu di Parlimen semalam dengan meminta Menteri Kesihatan menjelaskan perkembangan pelaksanaan larangan berkenaan serta sama ada cadangan pengecualian semula nikotin cecair itu selaras dengan komitmen kerajaan sebelum ini.
“Pada Disember 2025, Menteri menyatakan bahawa larangan vape bukan lagi persoalan sama ada ia akan dilaksanakan, tetapi bila. Memorandum Jemaah Menteri dijangka dibentangkan pada awal 2026, manakala larangan itu disasarkan berkuat kuasa menjelang pertengahan 2026 atau selewat-lewatnya hujung tahun.
“Namun, kini sudah November 2026 dan rakyat masih belum dimaklumkan sama ada memorandum itu telah dibentangkan, apakah keputusan Jemaah Menteri atau bila larangan tersebut akan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yii berkata kerajaan tidak sepatutnya mewartakan sebarang pengecualian bagi nikotin cecair sebelum Jemaah Menteri membuat keputusan muktamad berhubung larangan vape kerana langkah itu boleh mengesahkan penjualan produk berkenaan dan menyukarkan pelaksanaan larangan pada masa hadapan.
“Jika kerajaan masih berhasrat untuk mengharamkan vape, kerajaan perlu menjelaskan mengapa pengecualian itu diperlukan. Jika pendiriannya telah berubah, rakyat berhak mendapat penjelasan yang jujur,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kawalan terhadap vape bukan sekadar isu kawalan tembakau, malah merupakan langkah penting dalam mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD), termasuk penyakit jantung, strok, kanser dan penyakit paru-paru kronik.
Katanya, ketagihan nikotin amat membimbangkan kerana lazimnya bermula pada usia remaja, sekali gus mendedahkan golongan muda yang mula menggunakan vape kepada risiko kesihatan jangka panjang.
Yii turut membandingkan isu itu dengan Kempen Perang Terhadap Gula yang dilaksanakan kerajaan, sambil berkata kempen kesedaran semata-mata tidak mencukupi untuk mengubah tabiat tidak sihat selagi produk berbahaya kekal murah, mudah diperoleh dan dipasarkan secara meluas.
Memetik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, beliau berkata 54.4 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, manakala hampir 2.3 juta penduduk menghidap tiga penyakit NCD secara serentak.
Beliau berkata pandemik COVID-19 turut membuktikan kepentingan memastikan penduduk kekal sihat kerana individu yang menghidap diabetes, hipertensi, obesiti dan penyakit jantung berdepan risiko lebih tinggi untuk mengalami komplikasi serius dan kematian.
Mengenai penguatkuasaan, Yii menggesa kerajaan mengumumkan tarikh pelaksanaan larangan vape yang jelas, bermula dengan peranti sistem terbuka yang telah disalahgunakan untuk mengambil dadah sintetik.
Beliau turut menggesa Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dikuatkuasakan dengan tegas, khususnya berkaitan penjualan kepada golongan bawah umur dan penjualan dalam talian. Pada masa sama, perkhidmatan berhenti merokok dan vape secara percuma perlu disediakan di klinik serta farmasi.
Secara lebih menyeluruh, beliau menggesa kerajaan menangani pencegahan NCD melalui perubahan struktur dan bukan hanya bergantung kepada kempen kesedaran.
Beliau mencadangkan supaya hasil kutipan duti tembakau, vape dan minuman bergula diperuntukkan khusus untuk program promosi kesihatan, perkhidmatan berhenti merokok serta saringan NCD.
Antara langkah lain yang dicadangkan termasuk mewajibkan pelabelan pemakanan di bahagian hadapan bungkusan, memperkukuh perlindungan kanak-kanak daripada pemasaran nikotin dan makanan tidak sihat, meningkatkan standard pemakanan di sekolah serta memastikan makanan sihat lebih mampu dibeli, khususnya di Sarawak dan kawasan luar bandar.
“Menteri sebelum ini telah menyatakan perkara yang tepat. Kini beliau perlu memaklumkan kepada Parlimen dan rakyat tentang status larangan vape serta sama ada pengecualian semula nikotin cecair bermakna larangan itu telah diketepikan secara senyap.
“Usaha menangani NCD memerlukan dasar yang konsisten, dan ia bermula dengan tidak menjadikan produk ketagihan lebih mudah dibeli,” katanya.
Oleh Connie Chieng




