KUCHING, 3 November: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menerima kunjungan hormat penerima Hadiah Nobel Fizik 2023, Profesor Pierre Agostini, bersama delegasi Institut Fizik Malaysia (MIP) di Astana Negeri, di sini, pagi tadi.
Kunjungan itu turut disertai Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Profesor Pierre Agostini dianugerahkan Hadiah Nobel Fizik 2023 atas sumbangan perintisnya dalam bidang fizik attosaat yang membolehkan pergerakan elektron dalam atom dan molekul dikaji pada skala masa yang amat singkat.

Beliau diiringi Presiden Institut Fizik Malaysia, Profesor Tou Teck Yong, serta delegasi yang turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datu Adana Jed.
Pertemuan itu menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan sains dan teknologi, kepentingan penyelidikan saintifik serta usaha melahirkan generasi penyelidik dan tenaga profesional yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Dalam pertemuan itu, Tun Wan Junaidi menekankan kepentingan memperkukuh pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain memupuk budaya penyelidikan, pemikiran kritis dan kreativiti dalam kalangan generasi muda Sarawak.

Beliau berpandangan bahawa kemajuan negeri bukan sahaja bergantung kepada kekuatan ekonomi, malah turut ditentukan oleh keupayaan rakyat menguasai ilmu pengetahuan, membangunkan kepakaran serta menghasilkan penemuan dan inovasi teknologi sendiri.
Beliau turut menyatakan potensi Sarawak untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan sains, penyelidikan dan inovasi, selaras dengan aspirasi negeri membangunkan ekonomi baharu berteraskan teknologi tinggi, tenaga boleh diperbaharui dan modal insan berkemahiran.
Sehubungan itu, kerjasama antara institusi pengajian tinggi tempatan dengan universiti serta pusat penyelidikan antarabangsa perlu diperkukuh bagi memperluas pemindahan ilmu, pembangunan kepakaran dan penyelidikan bersama, khususnya dalam bidang teknologi kuantum, kecerdasan buatan (AI) dan industri berteknologi tinggi.
Tun Wan Junaidi turut menekankan kepentingan menyediakan peluang kerjaya, kemudahan penyelidikan dan pakej imbuhan kompetitif bagi menarik serta mengekalkan tenaga pakar, termasuk anak Sarawak yang sedang berkhidmat di luar negara.
Beliau turut menggesa supaya kecemerlangan teknikal, penyelidikan dan inovasi diberikan pengiktirafan setara dengan bidang pengurusan dan pentadbiran bagi membolehkan golongan profesional mengembangkan kerjaya berdasarkan kepakaran masing-masing.
Selain itu, kemudahan makmal, peralatan saintifik dan infrastruktur penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu terus dinaik taraf, dengan penglibatan lebih aktif sektor industri dalam pembiayaan penyelidikan, penajaan bakat dan kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi.
Tun Wan Junaidi berharap kejayaan Profesor Pierre Agostini menjadi inspirasi kepada pelajar, pensyarah dan penyelidik muda Sarawak untuk terus meneroka ilmu serta menghasilkan penemuan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Oleh Shikin Mahmud





