CYBERJAYA, 3 November: Sebanyak 2.14 bilion e-invois dikemukakan oleh kira-kira 269,900 pembayar cukai setakat 2 Nov lepas, namun pelaksanaannya bukan bertujuan mengenakan cukai baharu atau menambah beban percukaian kepada rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebaliknya, e-invois merupakan instrumen penting untuk menegakkan keadilan, mengesan ketidakpatuhan dan memastikan semua pihak menunaikan tanggungjawab percukaian masing-masing.
Beliau berkata penggunaan teknologi terkini, analisis data dan automasi penting dalam memperkukuh pentadbiran percukaian. Bagaimanapun, keputusan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada teknologi tanpa pertimbangan manusia, khususnya apabila melibatkan hak dan kepentingan rakyat.
“AI tidak mempunyai nilai akhlak dan kemanusiaan. Teknologi memiliki kepintaran, tetapi tidak dapat menggantikan akal budi, nurani dan pertimbangan manusia,” katanya dalam teks ucapan sempena Sambutan Hari Inovasi dan Integriti 2026 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) yang dibacakan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kemajuan teknologi perlu sentiasa dipandu oleh nilai manusiawi bagi memastikan penggunaannya memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata adalah tidak adil sekiranya pekerja yang jujur terus membayar cukai daripada pendapatan mereka, sedangkan pihak yang memiliki sumber kewangan lebih besar menyembunyikan pendapatan melalui pelbagai lapisan urusan niaga dan helah perakaunan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa keadilan percukaian menuntut undang-undang dilaksanakan secara saksama. Warga LHDN perlu tegas terhadap pengelakan cukai yang disengajakan, namun pada masa sama mengamalkan budi bicara berlandaskan undang-undang terhadap pembayar cukai yang memerlukan bantuan dan bimbingan.
Sementara itu, Anwar berkata 2027 dijangka terus mencabar berikutan konflik berpanjangan di Asia Barat, gangguan bekalan dan tekanan harga tenaga serta risiko cuaca ekstrem akibat fenomena El Niño yang boleh menjejaskan kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru, Belanjawan MADANI Kelima 2027 menggembleng sumber sebanyak RM510 bilion, termasuk perbelanjaan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM459.8 bilion, bagi meneruskan pembangunan, memperkukuh daya tahan ekonomi dan membela rakyat.
“Kutipan hasil yang adil dan berkesan penting untuk menjayakan ikhtiar ini,” katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga LHDN atas sumbangan mereka dalam memperkukuh kedudukan hasil negara.
“Teruskan usaha menguasai teknologi, meningkatkan kecekapan serta memelihara integriti dalam setiap amanah.
“Namun, di sebalik kemajuan teknologi dan angka kutipan, jangan sekali-kali dilupakan manusia yang menjadi asas setiap dasar dan tindakan kita. Laksanakan amanah bukan sahaja dengan integriti, tetapi juga dengan ihsan, kebijaksanaan dan memaknai nilai manusiawi,” tegasnya. – Bernama





