Model AI kini kebanyakannya lebih bijak daripada saintis terunggul – Altman

Facebook
WhatsApp
MODEL AI kini kebanyakannya lebih bijak daripada saintis terunggul. Foto janaan AI

ISTANBUL, 2 November: Model kecerdasan buatan (AI) canggih kini berkembang sehingga kebanyakannya lebih bijak daripada saintis paling hebat, selain berupaya melaksanakan sebahagian besar tugasan dalam sektor pekerjaan kolar putih, kata Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI Sam Altman.

Ketika berucap pada majlis perasmian Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Isnin, Altman berkata keupayaan AI melonjak secara mendadak sepanjang tahun lalu, lapor Anadolu Ajansi.

“Pada awal tahun ini, AI kebanyakannya belum mampu menandingi saintis kita yang paling bijak, tetapi kini kebanyakannya lebih bijak daripada mereka,” kata Altman.

“AI sebelum ini kebanyakannya tidak mampu melaksanakan banyak pekerjaan kolar putih, tetapi kini ia sudah berupaya melaksanakan sebahagian besar daripada tugasan itu,” katanya.

Altman menegaskan bahawa meskipun teknologi itu membawa kesan besar terhadap ekonomi global dan peluang pekerjaan, pertimbangan, kreativiti serta akauntabiliti manusia mesti kekal sebagai elemen utama dalam penggunaannya.

“Kami berpendapat bahawa adalah amat penting untuk manusia terus mengawal masa depan; tidak sepatutnya berlaku penyerahan kuasa kepada AI dan tidak sepatutnya ada proses beransur-ansur yang membolehkan AI menentukan perkara yang terbaik untuk kita,” katanya.

“AI perlu menjadi alat yang dibangunkan untuk manusia dan berkhidmat kepada manusia, bukannya manusia yang berkhidmat untuk AI,” katanya lagi.

Menyentuh kebimbangan mengenai permintaan elektrik yang amat tinggi bagi menyokong infrastruktur pengkomputeran, beliau menyifatkan bekalan tenaga fizikal sebagai kekangan terbesar kepada perkembangan sektor berkenaan.

“Segala perkara lain akan mencatat kemajuan besar, namun atom tetap atom dan dunia fizikal yang perlu membekalkan tenaga untuk semua ini akan menjadi faktor utama yang menentukan kos serta ketersediaannya,” katanya.

Altman turut menyatakan bahawa penggunaan token per kapita global meningkat daripada hampir sifar enam tahun lalu kepada kira-kira 100,000 token sebulan manakala pengguna institusi terbesar menggunakan sekitar 500 bilion token setiap bulan.

Mengulas mengenai penerimaan teknologi yang pesat di negara tuan rumah, beliau berkata kira-kira 80 peratus golongan muda di UAE menggunakan ChatGPT setiap minggu.

Dalam acara itu, OpenAI mengumumkan kerjasama dengan kumpulan teknologi Emiriah, G42 dan syarikat pengeluar minyak milik kerajaan, Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC), sekali gus menandakan penggunaan global pertama model AI termaju OpenAI oleh sebuah syarikat tenaga. – Bernama