KABONG: Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong tidak seharusnya menidakkan pembangunan yang sedang dan telah diusahakan oleh Kerajaan Sarawak serta wakil rakyatnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata rakyat harus faham segala proses dan pelaksanaan sesuatu pembangunan di setiap konstituensi itu memerlukan perancangan rapi serta tempoh masa, dan tidak hanya tertumpu di sesebuah kawasan tertentu sahaja.
Jelasnya, beliau telah merancang dengan begitu rapi agar setiap projek pembangunan yang telah dan akan disalurkan ke setiap kawasan di DUN Kabong akan diberi dengan seadilnya.
“Selama tempoh saya mula diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi wakil rakyat di DUN Kabong sejak 2016 lalu, telah banyak pembangunan yang dirancang, dan daerah Kabong kini telah melalui satu perubahan landskap pembangunan terancang berjaya merubah daerah ini dalam masa yang begitu singkat.
“Justeru itu, rakyat disini harus terus memberikan kerjasama kepada saya untuk meneruskan agenda perjuangan pembangunan di daerah ini agar terus diambil perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa meninjau beberapa pelaksanaan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di sekitar DUN Kabong baru-baru ini.
Chee Kadir berkata semua kawasan terutama di kampung-kampung dan rumah panjang di DUN Kabong telah disalurkan pelbagai projek pembangunan walaupun ia dilakukan secara berperingkat-peringkat.
“Memang tidak dinafikan, berkat kerjasama dan usaha berterusan, kita telah banyak membawa pembangunan di DUN Kabong ini, biarpun sesuatu projek itu dilakukan secara berfasa.
“Agak mustahil untuk saya menunaikan semua permintaan penduduk sekaligus dalam satu-satu masa untuk semua peringkat kampung dan rumah panjang.
“Sudah tentu saya akan meluluskan sesuatu projek pembangunan itu mengikut keutamaan yang diperlukan bagi setiap kampung dan rumah panjang itu,” ujarnya.
Chee Kadir turut melahirkan rasa kesal dan kekecewaan terhadap beberapa individu yang melemparkan tuduhan kononnya, setiap projek pembangunan hanya bertumpu di kawasan Kabong sahaja dan tidak disalurkan ke kawasan Zon Tengah Kabong.
“Untuk pengetahuan, Kabong adalah merupakan sebauh daerah penuh maka setiap projek pembangunan terutamanya yang melibatkan infrastruktur dan prasarana harus diutamakan di kawasan itu, bukan bermakna saya menidakkan kawasan-kawasan lain di DUN Kabong, terutamanya di Zon tengah Kabong.
“Saya berharap individu yang berlatar belakangkan politik ini berhentilah melemparkan tuduhan bahawa pembangunan hanya tertumpu di Kabong sahaja, kerana kita tidak pernah mengabaikan setiap kawasan di DUN Kabong untuk diberi pembangunan yang seimbang dan seadilnya,” tegas Chee Kadir.
Ia terbukti dengan penyerahan beberapa lagi projek RTP ADUN Kabong yang menelan kos sebanyak RM800,000 bagi melaksanakan empat projek.
Antaranya ialah membina Kawasan untuk parkir kenderaan di SK St Paul Roban dengan peruntukan RM200,000, bina baharu Terminal Bot Sungai Kampung Emplam (RM250,000), pembinaan Terminal Bot Rumah Bundan, Engkabang (RM200,000) dan naiktaraf jalan perkuburan Kristian/Pagan di Empayang dengan peruntukan RM150,000.
Oleh ADI SAFARMAN