SARIKEI: Hutan memainkan peranan penting kepada kehidupan sejagat, kata Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Datu Hamden Mohammad.
Katanya, hutan yang diurus baik dan dilitupi rimbunan dedaun yang hijau, menjadi agen pembebasan oksigen yang diperlukan untuk pernafasan serta menyerap karbon dioksida yang tidak diperlukan.
“Sebagai menyokong penjelasan berkenaan, beberapa kajian saintifik dilaksanakan para saintis di seluruh dunia antaranya, merujuk kepada satu artikel yang disiarkan dalam Berita Harian Online bertarikh 22 Oktober 2020 menyatakan, seekar tanah yang diliputi oleh pokok mempunyai kadar pelepasan oksigen yang mampu menampung keperluan pernafasan seramai 18 orang selama setahun.
“Atas kepentingan ini pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh JHS untuk memastikan Sarawak kekal dipayungi kawasan berhutan seperti pelaksanaan program restorasi landskap hutan,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Le Tour De Restoration (Greening Sarawak’s Campaign) sempena Sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak Peringkat Wilayah Sarikei 2021, baru-baru ini.
Pada dasarnya,JHS melaksanakan program restorasi landskap hutan sejak 1990-an.
“Namun, pendekatan yang digunakan dan sasaran penanaman agak berbeza dengan yang ada pada hari ini.
“Melihat kepentingan usaha untuk melestarikan alam sekitar agar seimbang dengan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan, JHS mencadangkan kepada Kerajaan Sarawak supaya memperkasakan perlaksanaan program restorasi ini.
“Justeru, pada 15 Jun 2019 semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program Restorasi Landskap Hutan Sarawak, Yang Amat Berhormat (YAB) Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengangkat program ini sebagai agenda utama Kerajaan Sarawak bertujuan untuk menghijaukan bumi Sarawak,” ujarnya.
Tambahnya, bagi memastikan pelaksanaan program restorasi memberi impak dan mencapai sasaran yang ditetapkan, Kerajaan Sarawak melalui JHS menjenamakan semula program ini sebagai Kempen Penghijauan Sarawak.
“Penjenamaan ini telah meluaskan lagi skop perlaksanaan kempen tersebut agar berkesan serta menyeluruh untuk diselaraskan dengan perlaksanaan Program Penghijauan Malaysia Melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan di seluruh negara bermula tahun ini.
“Sebagai sokongan, JHS mengilhamkan pelbagai pendekatan bagi menarik penyertaan orang ramai untuk melibatkan diri secara aktif dalam program ini seperti memperkenalkan Pameran Bergerak Karavan,” katanya.
Jelas beliau, kaedah menggunakan Pameran Bergerak Karavan adalah selaras dengan trend terkini yang digunakan pelbagai pihak bagi menyampaikan maklumat dan memberikan perkhidmatan mereka lebih dekat dengan para pelanggan.
“Untuk menjadikan pameran bergerak karavan ini lebih menarik dan berinfomasi, JHS memuatkan bahan pameran yang berkonsepkan sumber maklumat perhutanan bergerak yang dipamerkan secara fizikal dan interaktif.
“Ini bagi memudahkan orang ramai untuk melihat serta memperolehi sendiri maklumat tersebut dengan lebih dekat lagi.
“Di samping itu, JHS turut memuatkan pelbagai tayangan video mengenai usaha yang kami lakukan bagi menghijaukan bumi Sarawak,” katanya.
Selain itu, pihaknya juga turut menyediakan KIOSK Intrektif yang memaparkan pelbagai maklumat seperti Forest Landskap Restoration dan Kempen Penghijauan Sarawak yang merangkumi pelbagai maklumat seperti sejarah restorasi hutan di Sarawak, spesies pokok, jenis hutan, tapak semaian serta pelan perancangan bagi tempoh lima tahun.
“JHS turut menyediakan kaunter khas bagi memudahkan orang ramai yang ingin mendaftarkan sebagai ahli dalam aplikasi Apps Penghijauan Malaysia.
“Selepas mendaftar sebagai ahli, kita boleh melihat sendiri perlaksanaan kempen ini yang dipaparkan secara ‘real time’.
“Kita boleh mendapatkan pelbagai data dan maklumat terkini berkaitan dengan aktiviti penanaman pokok yang dilaksanakan di seluruh negara oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta, orang perseorangan serta badan bukan kerajaan (NGO),” tambahnya.
Jelasnya, sebagai ahli kepada aplikasi tersebut juga, pelbagai hadiah menarik yang disediakan oleh pihak urusetia bagi menjayakan kempen ini.
Oleh EARL ANEK