BAU, 2 November: Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan awal pagi tadi kerana disyaki memasang kamera tersembunyi dalam tandas wanita sebuah premis makanan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau kira-kira 12.10 tengah malam tadi di kediamannya di sebuah kampung dalam daerah berkenaan.
Beliau berkata, hasil siasatan awal dan soal siasat mendapati suspek mengaku memasang kamera berkenaan dalam tandas wanita premis tersebut untuk kegunaan peribadi.
Dalam tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan, termasuk sebuah telefon pintar yang mengandungi rakaman dalam tandas tersebut, resit pembelian peranti kamera, pakaian dan sebuah beg sandang.
Mohd Haide berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau menegaskan bahawa polis memandang serius sebarang perbuatan yang mencabul kehormatan, privasi dan keselamatan orang awam, khususnya penggunaan kamera tersembunyi di tempat awam seperti tandas.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan segera membuat laporan polis sekiranya menemui sebarang objek atau peranti mencurigakan di tempat awam.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu juga diminta tampil membantu siasatan.
Polis Daerah Bau akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Oleh Connie Chieng





