KUALA LUMPUR, 2 November: Pelabur dari China berminat membangunkan kilang pengeluaran aluminium serta kemudahan tenaga hijau di Samalaju, Bintulu, Sarawak, bagi menyokong aktiviti pembuatan berorientasikan pasaran antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan pelaburan itu bukan sahaja melibatkan pembinaan kilang pembuatan, malah merangkumi pembangunan sumber tenaga hijau bagi membekalkan elektrik kepada operasi kilang berkenaan.
Beliau berkata usaha menarik pelaburan itu telah dilaksanakan sejak sekian lama dengan mengambil kira potensi Samalaju sebagai kawasan perindustrian yang mampu menampung aktiviti pembuatan berskala besar.
“Pada hemat saya, perkara ini cukup dapat membantu Sarawak. Malah saya telah membincangkan perkara ini dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan beberapa orang menteri dari Sarawak untuk pelaburan ini dilakukan di Samalaju yang mempunyai potensi industri cukup besar.
“Mereka berhasrat akan melabur bukan sahaja dalam kilang pembuatan tetapi juga tenaga hijau untuk membekalkan kuasa elektrik kepada kilang itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Kerjasama Malaysia-China dalam Pelaburan, Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi di sini hari ini.
Beliau berkata cadangan pelaburan berkenaan turut mengambil kira keperluan menembusi pasaran antarabangsa memandangkan saiz pasaran domestik Malaysia yang terhad.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, mengadakan pertemuan dengan 58 ahli perniagaan dari China yang berada di Malaysia bagi meneroka peluang pelaburan dalam pelbagai sektor berpotensi tinggi.
Beliau turut memaklumkan bahawa kumpulan pelabur berkenaan telah memberikan indikasi awal pelaburan berjumlah AS$15 bilion di Malaysia, dengan tumpuan kepada aktiviti berteknologi tinggi dan bernilai tambah. – Bernama





