Hilux rempuh pembahagi jalan di Lebuh Raya Pan Borneo, pemandu cedera ringan

Facebook
WhatsApp
KENDERAAN pacuan empat roda jenis Toyota Hilux terlibat dalam kemalangan kendiri di Lebuh Raya Pan Borneo dekat Simpang Sungai Klampai, tengah hari tadi. Foto PGO Bomba Sarawak

SARATOK, 2 November: Seorang lelaki terselamat dengan hanya mengalami kecederaan ringan selepas Toyota Hilux yang dipandunya terlibat dalam kemalangan kendiri apabila melanggar pembahagi jalan di Lebuh Raya Pan Borneo dekat Simpang Sungai Klampai, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.59 tengah hari itu, mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

Menurut maklumat Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian.

Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikerahkan ke lokasi.

Pasukan bomba tiba pada 1.12 petang, kira-kira 13 minit selepas menerima panggilan kecemasan.

Pemeriksaan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux yang melanggar pembahagi jalan dalam kejadian kendiri.

Mangsa yang merupakan pemandu lelaki dilaporkan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum dibawa ke hospital oleh rakannya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pasukan bomba tidak menjalankan operasi menyelamat kerana mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam lebih awal, sebaliknya hanya melakukan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan bagi memastikan keadaan di lokasi selamat.

Operasi yang diketuai PBK I Abdul Rahman Sabi itu berjaya dikawal pada 1.16 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada 1.22 petang.

Oleh Adi Safarman