Inovasi baja biokimia perkasa pertanian Sarawak

Facebook
WhatsApp
LAWATAN KERJA...Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada lawatan dan perbincangan bersama pihak Hydroplant Sdn. Bhd. (HSB) di kilang syarikat berkenaan di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor. Foto Pusat Khidmat DUN Bukit Kota

LAWAS, 2 November: Teknologi baja biokimia yang menggabungkan baja kimia dengan mikroorganisma bermanfaat berpotensi meningkatkan produktiviti tanaman, kesuburan tanah serta menyokong pembangunan pertanian mampan di Sarawak.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, teknologi berkenaan dilihat mampu meningkatkan kecekapan penggunaan nutrien oleh tanaman, selain mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan bahan kimia secara berlebihan.

Menurutnya, kementerian telah mengadakan perbincangan dengan Hydroplant Sdn Bhd (HSB) bagi meneroka potensi kerjasama serta perkembangan teknologi baja biokimia dalam sektor pertanian.

“Kita diberi penerangan mengenai teknologi baja biokimia yang menggabungkan baja kimia dengan mikroorganisma bermanfaat bagi membantu meningkatkan kecekapan penggunaan nutrien dan memperbaiki kesuburan tanah,” katanya.

PENERANGAN… Abdul Rahman bersama delegasi Sarawak menerima penerangan mengenai teknologi baja biokimia yang menggabungkan baja kimia dengan mikroorganisma bermanfaat. Foto Pusat Khidmat DUN Bukit Kota

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas mengadakan lawatan dan perbincangan bersama pihak HSB di kilang syarikat berkenaan di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor, semalam.

Abdul Rahman berkata, delegasi Sarawak turut diberi penerangan mengenai peranan mikroorganisma dalam membantu proses penyerapan nutrien oleh tanaman, memperbaiki struktur tanah serta mengurangkan penggunaan bahan kimia secara berlebihan.

“Pendekatan ini dilihat berpotensi menyumbang kepada pembangunan amalan pertanian yang lebih mampan, di samping menyokong usaha meningkatkan produktiviti tanaman dan memelihara kesihatan tanah dalam jangka panjang,” jelasnya.

Katanya, lawatan tersebut turut membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan dan perbincangan mengenai teknologi pertanian yang berpotensi diterokai bagi menyokong pembangunan industri makanan di Sarawak.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif HSB, Mohamad Aidil Jantan; Pakar Produk HSB, Dr Abdul Manaf Mohd Razi; Ketua Pegawai Eksekutif HSB, Edward Ng; Pegawai Penyelidik HSB, Syarifah Nurbalqis Idid Syed Taufik Idid; serta Pegawai Pemasaran dan Teknikal HSB, Badran Eirfan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Peladang Consultancy Sdn Bhd (PCSB), Edward Dickson Kedum dan Eksekutif Pemasaran PCSB, Izuarina Casandra Dorcas.

Oleh Adeng Edrus