Program jangkauan pastikan dasar kerajaan sampai kepada rakyat – Johnny Pang

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil agensi yang mengambil bahagian dalam Program Jangkauan Setiausaha Politik di Bintulu.

BINTULU, 1 November: Program jangkauan kerajaan perlu diperkasakan bagi memastikan dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan Sarawak sampai kepada golongan sasar, khususnya masyarakat di peringkat akar umbi.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, keberkesanan sesuatu dasar bukan sahaja bergantung kepada perancangan dan peruntukan, tetapi turut ditentukan oleh keupayaan kerajaan menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Beliau memberitahu, masih terdapat masyarakat yang tidak mengetahui jenis bantuan disediakan, syarat kelayakan serta agensi yang perlu dihubungi untuk mendapatkan perkhidmatan berkaitan.

Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan golongan yang layak terlepas peluang mendapatkan manfaat daripada pelbagai inisiatif kerajaan.

“Dasar mungkin dirangka di Kuching dan peruntukan sudah diluluskan, tetapi persoalannya, adakah maklumat itu sampai kepada masyarakat di Bintulu, kampung dan kawasan perumahan, termasuk keluarga yang benar-benar memerlukannya?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jangkauan Setiausaha Politik menerusi Majlis Taklimat dan Penerangan Inisiatif dan Strategi Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Kerajaan Sarawak di sebuah restoran di sini, semalam.

PENGHARGAAN… Johnny Pang menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil agensi kerajaan sebagai tanda penghargaan atas penglibatan dan kerjasama mereka dalam menjayakan Program Jangkauan Setiausaha Politik di Bintulu.

Program berkenaan yang menghimpunkan lebih 20 jabatan dan agensi kerajaan itu membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat serta penjelasan secara langsung tanpa perlu mengunjungi pejabat agensi berbeza.

Menurut Johnny Pang, pendekatan itu juga membantu memastikan masyarakat memperoleh maklumat tepat berkaitan bantuan, prosedur permohonan, peluang pendidikan, pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan awam.

Beliau berkata, program berkenaan turut melibatkan perkongsian maklumat oleh Sarawak Energy, Sarawak Water, Yayasan Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR), Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), AirBorneo, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan dengan pemimpin masyarakat, pihak sekolah, persatuan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi memastikan maklumat berkaitan dasar serta bantuan kerajaan disebarkan secara meluas.

Katanya, saluran komunikasi di peringkat akar umbi penting kerana golongan berkenaan lebih memahami keperluan serta permasalahan penduduk setempat.

Beliau turut menggalakkan peserta berkongsi maklumat yang diperoleh dengan keluarga, jiran dan masyarakat setempat supaya lebih ramai mengetahui peluang serta kemudahan yang disediakan kerajaan.

“Impak program jangkauan tidak seharusnya terhenti kepada mereka yang hadir sahaja, sebaliknya maklumat yang diperoleh perlu disampaikan kepada lebih ramai keluarga dan masyarakat,” katanya.

Ujar beliau, usaha mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat perlu diteruskan bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan dapat difahami, diakses serta dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.

Oleh Carolyne Utih