LA PAZ (Bolivia), 1 November: Presiden Bolivia, Rodrigo Paz mengisytiharkan darurat pada Sabtu bagi membolehkan sumber dan peruntukan digerakkan untuk menangani kesan fenomena cuaca El Nino yang sedang mencetuskan pelbagai bencana di seluruh dunia.
Paz berkata, pengisytiharan itu turut membolehkan lebih banyak pasukan penyelamat dikerahkan ke kawasan terjejas teruk ketika Bolivia berdepan bencana banjir dan kemarau akibat fenomena berkenaan.
“Fenomena ini dijangka membawa kesan yang sangat serius dari segi kemarau dan banjir. Oleh itu, kita memerlukan kerjasama semua institusi,” katanya dalam ucapan kepada rakyat.
Menurut laporan kerajaan minggu ini, kemarau telah menjejaskan kira-kira 78,000 keluarga di enam daripada sembilan wilayah pentadbiran Bolivia, selain menyebabkan kehilangan lebih 75,000 ekor lembu.
El Nino merupakan fenomena pemanasan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik berhampiran garisan Khatulistiwa yang menyebabkan perubahan corak angin, tekanan atmosfera dan taburan hujan di seluruh dunia.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini memberi amaran bahawa fenomena El Nino ketika ini berpotensi mencapai tahap kekuatan yang belum pernah berlaku sebelum ini, sekali gus mencetuskan gangguan cuaca serius di Amerika Latin, timur dan selatan Afrika, Asia serta rantau Pasifik.
Di negara jiran Bolivia, Peru mencatatkan peningkatan suhu dan kejadian kebakaran hutan yang setakat ini telah meragut sekurang-kurangnya 12 nyawa.
Sementara itu, Chile mengalami Oktober paling banyak hujan pernah direkodkan di ibu negaranya, Santiago.
– AFP





