PETRA JAYA, 31 Oktober: Sarawak bakal memperkukuh kapasiti tenaga boleh baharunya menerusi pembangunan projek solar fotovolta terapung berkapasiti 400 megawatt (MW) di takungan Empangan Hidroelektrik (HEP) Murum, Belaga, yang dijangka menjadi antara projek seumpamanya terbesar di Asia Tenggara.
Projek itu menyaksikan Abu Dhabi Future Energy Company (Masdar PJSC), pemaju tenaga boleh baharu berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Syarikat SESCO Berhad (SESCO), anak syarikat milik penuh Sarawak Energy, menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bagi pembangunan kemudahan berkenaan.
Perjanjian itu menandakan perkembangan lanjut kerjasama antara Sarawak Energy dengan Masdar selepas kedua-dua pihak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) semasa Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP28) di Dubai pada Disember 2023.
Pembangunan projek solar terapung itu akan melengkapi infrastruktur hidroelektrik sedia ada Sarawak Energy dengan menggabungkan penjanaan tenaga solar bagi mempelbagaikan sumber tenaga boleh baharu di Sarawak.

Empangan Murum yang terletak di Belaga, Bahagian Kapit mempunyai kapasiti penjanaan 944 MW dan merupakan loji hidroelektrik kedua terbesar di Sarawak selepas Bakun.
Loji itu mula beroperasi pada 2014.
Sementara itu, pembangunan solar terapung di Sarawak turut merangkumi kemudahan berkapasiti 50 MW di Batang Ai yang mula beroperasi secara komersial pada Disember 2024.
Sarawak Energy juga telah memeterai perjanjian bagi pembangunan tambahan 120 MW di Batang Ai, menjadikan jumlah kapasiti solar terapung di lokasi itu sebanyak 170 MW apabila siap kelak.
Selain itu, projek solar terapung berkapasiti 300 MW turut dirancang di Empangan Hidroelektrik Bakun.
Keseluruhan pembangunan berkenaan menyokong sasaran Sarawak untuk mencapai sekurang-kurangnya 1,500 MW kapasiti penjanaan tenaga solar dan jumlah kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 10 gigawatt (GW) menjelang 2030.
Sarawak turut menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada campuran penjanaan elektriknya terdiri daripada sumber tenaga boleh baharu.
Menurut kenyataan yang disiarkan menerusi saluran Facebook Sarawakku, wakil Masdar dan Sarawak Energy turut mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, semalam, susulan pemeteraian PPA berkenaan.
Delegasi berkenaan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi, bersama Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Ibrahim Baki; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili; serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy yang dilantik, Dato Ruslan Abdul Ghani.




