SIMANGGANG, 31 Oktober: Bahagian Sri Aman terus mencatat perkembangan pesat menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), yang menjadi pemangkin utama kepada transformasi sosioekonomi kawasan itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, sejak penubuhannya pada tahun 2020, SADA telah diperuntukkan dana pembangunan berjumlah RM1.5 bilion bagi mempercepatkan pembangunan Sri Aman melalui empat teras utama iaitu infrastruktur, pertanian, ekonomi dan sosial.

Menurut beliau, sebanyak 39 projek bernilai RM1.05 bilion atau 69.9 peratus daripada keseluruhan peruntukan telah diluluskan setakat ini.
“Antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah kerja menaik taraf Jalan Guntong-Menalang dengan peruntukan RM47.2 juta, pembinaan Jalan Sebeliau-Nanga Entalau bernilai RM68 juta serta projek menaik taraf Jalan Batang Strap, Sapak Isu ke Simpang Ubah Fasa I yang melibatkan kos RM60.3 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman 2026 di Kompleks Sukan Sri Aman yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Dalam sektor pertanian, Malcolm berkata sebanyak 19 projek bernilai RM164 juta telah diluluskan, termasuk pembangunan sistem saliran dan pengairan di kawasan Seduku, Setirau, Antik dan Bakong serta kerja pemulihan Skim Saliran Kawalan Sungai Ensurai.
Bagi sektor ekonomi pula, sebanyak 24 projek dengan nilai keseluruhan RM126 juta telah diluluskan, dengan pembangunan industri pelancongan menjadi antara keutamaan utama.
Antara projek berimpak tinggi yang sedang dibangunkan ialah Kompleks Ekopelancongan Gunung Lesong bernilai RM17.8 juta, Taman Rekreasi Benak Seduku bernilai RM49.5 juta serta kerja pemulihan dan menaik taraf Kubu Arundell yang melibatkan peruntukan RM7 juta.
“Projek-projek ini berpotensi meningkatkan daya tarikan pelancongan Sri Aman, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat,” ujarnya.
Sementara itu, sektor sosial turut menerima perhatian menerusi kelulusan 14 projek bernilai RM161 juta.
Antaranya termasuk pembinaan Dewan Simposium Batang Lupar bernilai RM45 juta, menaik taraf Bilik Bedah 3 serta pembinaan Blok Psikiatri dan Blok Klinik Pakar Hospital Sri Aman II yang melibatkan peruntukan RM30 juta.
Selain itu, kerja menaik taraf Pusat Latihan Sarawak Skills Sri Aman dengan kos RM3.5 juta turut dilaksanakan bagi memperkukuh pembangunan modal insan di kawasan tersebut.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Oleh Adi Safarman




