Jambatan Batang Lupar 2 bukti GPS tunaikan janji, bukan sekadar ‘Air Liur’ – Uggah

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Pra Pelancaran Jambatan Batang Lupar 2 yang turut dibuka kepada orang ramai, mulai hari ini. Foto: Adi Safarman

SIMANGGANG, 31 Oktober: Kritikan pembangkang yang sebelum ini menyifatkan pengumuman projek jambatan dan pembangunan mega di Sarawak sebagai sekadar ‘air liur’ atau janji kosong akhirnya terjawab apabila satu demi satu projek berjaya direalisasikan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembukaan Jambatan Batang Lupar 2 hari ini menjadi bukti jelas bahawa kerajaan GPS bukan sekadar membuat janji retorik, sebaliknya komited memastikan setiap perancangan pembangunan dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, pembangkang sebelum ini sering mempersoalkan kemampuan kerajaan negeri untuk merealisasikan projek infrastruktur berskala besar, termasuk pembinaan jambatan di seluruh Sarawak.

“Dahulu apabila kita mengumumkan pembinaan jambatan dan mega projek di Sarawak, pembangkang selalu menuduh itu hanya air liur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pra Pelancaran Jambatan Batang Lupar 2, dekat sini, petang ini.

Namun, katanya, pelaksanaan projek demi projek termasuk Jambatan Batang Lupar 2 membuktikan bahawa segala perancangan kerajaan bukan sekadar pengumuman, tetapi diterjemahkan kepada pembangunan yang boleh dinikmati rakyat.

Jambatan Batang Lupar 2 sepanjang 870 meter itu merupakan jambatan ke-14 yang siap daripada keseluruhan 22 jambatan mega yang dirancang kerajaan Sarawak.

Jambatan bernilai RM223.633 juta itu dibina menggunakan reka bentuk cable-stayed atau jambatan kabel penahan, dengan dua menara utama setinggi 145.5 meter setiap satu, sekali gus menjadikannya antara struktur jambatan ikonik di Sarawak.

Ia turut mempunyai rentang utama sepanjang 450 meter serta laluan pelayaran selebar 200 meter pada ketinggian 23 meter bagi membolehkan pergerakan kapal di Batang Lupar berjalan lancar.

Projek berkenaan turut merangkumi pembinaan jalan akses sepanjang kira-kira 2.08 kilometer, lengkap dengan sistem saliran, papan tanda serta kemudahan keselamatan jalan raya mengikut piawaian JKR R5.

Pelaksanaan projek itu pada asalnya dijadualkan bermula pada Jun 2020, namun berdepan kelewatan susulan pandemik COVID-19 sebelum kerja-kerja pembinaan penuh dimulakan pada 2022.

Projek yang dilaksanakan oleh usaha sama Naim Gamuda (NAGA) JV Sdn Bhd itu turut berdepan cabaran logistik membabitkan bekalan bahan binaan dan tenaga kerja sebelum akhirnya berjaya disiapkan.

Secara keseluruhan, pembinaan 22 jambatan mega dengan kos hampir RM7 bilion menggunakan dana kerajaan Sarawak sendiri merupakan antara inisiatif besar Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memperkukuh jaringan infrastruktur negeri.

Usaha itu memperlihatkan komitmen kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, malah diperluaskan sehingga ke kawasan luar bandar agar rakyat dapat menikmati kemudahan perhubungan yang lebih baik, selamat dan selesa.

Pembukaan Jambatan Batang Lupar 2 bukan sahaja menjadi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur negeri, malah menjadi satu lagi bukti bahawa pembangunan yang dirancang dengan kesungguhan mampu direalisasikan demi masa depan Sarawak.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Felicia Tan, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris.

Oleh Adi Safarman