KUCHING, 31 Oktober: Keputusan mengenai penjagaan bayi lelaki yang ditemukan tertimbus dalam tanah di Kapit belum dibuat kerana bayi berkenaan masih menerima rawatan di Hospital Sibu.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang bekerjasama dengan keluarga sebelah ibu bayi berkenaan serta kaunselor.
“Belum lagi, sebab dia masih dalam hospital, jadi belum ada keputusannya,” katanya ketika ditanya sama ada bayi itu akan diserahkan kepada keluarganya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Santuni Kasih KPWKM 2026 di sini, hari ini.
Tambahnya, bayi itu pada mulanya menerima rawatan di Kapit sebelum dipindahkan ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan pakar.
“Pihak kami belum menerima perintah mahkamah untuk menempatkan bayi tersebut dalam jagaan orang yang layak dan sesuai, manakala perundingan dengan keluarga masih berjalan.
“Keluarga ibunya masih ada, jadi sebab itu kita perlu berhati-hati dalam kita nak menyerahkan anak itu kepada siapa,” jelasnya.


Beliau berkata, pelindung JKM bekerjasama dengan keluarga dan kaunselor bagi mengenal pasti punca masalah serta menentukan bantuan yang diperlukan.
Mengenai kemungkinan ibu bayi itu mengalami kemurungan selepas bersalin, Nancy berkata, perkara tersebut memerlukan pengesahan doktor.
Jelasnya, siasatan masih dijalankan dan beliau tidak mahu membuat andaian berdasarkan maklumat yang belum disahkan.
Untuk rekod, bayi lelaki yang baru dilahirkan itu ditemukan masih bernyawa dalam keadaan tertimbus dalam tanah berhampiran sebuah rumah sewa di Jalan Airport, Kapit pada 27 Oktober lalu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Rohana Nanu dilaporkan berkata, anggota polis terdengar tangisan bayi ketika menjalankan pencarian di lokasi selepas menerima laporan kira-kira 2.30 petang.
Bayi itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal ketika ditemukan, manakala ibunya sudah dikenal pasti tetapi belum disiasat ketika itu kerana masih menerima rawatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Oleh Masrin Affirah





