SIMANGGANG, 31 Oktober: Sri Aman bakal menikmati jaringan jalan raya lebih lancar menerusi projek menaik taraf laluan dari simpang Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman ke Bandar Simanggang kepada jalan berkembar dengan kos keseluruhan RM334 juta.
Projek berkenaan diluluskan kerajaan Sarawak bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas susulan pembangunan pesat Sri Aman serta peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakan laluan berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keadaan jalan sedia ada yang sempit tidak lagi mampu menampung pertambahan trafik seiring perkembangan bandar itu.
“Jalan raya kita dari Simpang Pan Borneo masuk ke Sri Aman itu sempit. Sri Aman sudah membangun. Oleh sebab Sri Aman semakin membangun, kenderaan semakin banyak dan berlaku kesesakan lalu lintas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman 2026 di Kompleks Sukan Sri Aman di sini, hari ini.

Menurutnya, projek itu turut menjadi sebahagian daripada pembangunan rangkaian pengangkutan bersepadu yang menghubungkan Sri Aman dengan kawasan sekitar, termasuk Jambatan Batang Lupar Kedua, Jalan Utama Kedua, Sebuyau dan Betong.
Selain infrastruktur jalan raya, kerajaan turut merancang pembinaan sebuah Pusat Konvensyen Mini di Sri Aman dalam tempoh lima tahun bagi memperkukuh peranannya sebagai hab pertemuan, persidangan dan perbincangan agenda pembangunan serantau.
Dalam perkembangan sama, Abang Johari mengingatkan masyarakat supaya lebih serius menjaga kesihatan, khususnya mengawal risiko penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi dan diabetes yang menunjukkan trend peningkatan berdasarkan maklum balas pemeriksaan kesihatan sepanjang program SKS.
Beliau menasihatkan orang ramai mengamalkan pemakanan seimbang, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala serta mengurus tekanan emosi bagi mengurangkan risiko penyakit.
Sambil itu beliau menegaskan kesihatan yang baik merupakan asas penting untuk menjalani kehidupan aktif dan terus menyumbang kepada masyarakat.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Oleh Adi Safarman




