BINTULU, 31 Oktober: Harga kuih-muih serendah 50 sen sebiji antara tarikan deretan gerai sarapan di kawasan Fairchoice Kidurong, berhampiran Sekolah Kebangsaan Kidurong, yang menawarkan pelbagai pilihan juadah pada harga berpatutan kepada penduduk setempat.
Beroperasi dari Isnin hingga Sabtu, kebanyakan gerai memulakan jualan seawal 5.30 pagi hingga 10.30 pagi bagi memenuhi keperluan pelanggan yang mencari sarapan sebelum memulakan urusan harian.
Pelbagai pilihan makanan ditawarkan, termasuk kuih-muih tradisional, nasi lemak, apam balik dan roti canai, sekali gus memberi pilihan kepada pelanggan mengikut cita rasa serta kemampuan masing-masing.
Salah seorang peniaga, Noor Syamimi Sebi, 35, berkata gerainya yang menawarkan pelbagai jenis kuih beroperasi seawal 5.30 pagi hingga 10 pagi, bergantung pada keadaan jualan.
Menurutnya, sekiranya kuih yang disediakan habis lebih awal, beliau akan menutup gerai tanpa perlu menunggu sehingga waktu operasi biasa berakhir.
Beliau berkata sambutan pelanggan biasanya lebih menggalakkan pada hari persekolahan dan hari bekerja apabila ramai penduduk singgah membeli sarapan sebelum memulakan aktiviti harian.

Katanya, mengekalkan harga jualan yang berpatutan merupakan antara caranya untuk menarik pelanggan, selain tidak hanya mementingkan keuntungan.
“Bagi saya, selagi masih ada keuntungan walaupun sedikit, saya rasa berbaloi untuk mengekalkan harga yang murah. Kadang-kadang, niat saya berniaga bukan semata-mata untuk mencari keuntungan, tetapi ada juga terdetik untuk bersedekah melalui jualan ini,” katanya.
Bagaimanapun, cuaca tidak menentu, terutama hujan, menjadi antara cabaran yang dihadapi peniaga di kawasan berkenaan kerana keadaan itu boleh menjejaskan kehadiran pelanggan dan menyebabkan sebahagian makanan tidak habis dijual.
Beliau berharap lebih ramai orang mengetahui kewujudan deretan gerai berkenaan, khususnya mereka yang tinggal di luar kawasan Kidurong, sekali gus membantu meningkatkan kunjungan pelanggan.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mazri Mohammad, 38, yang menjual apam balik, berkata kebanyakan pelanggan yang berkunjung ke gerainya terdiri daripada penduduk sekitar.
Menurutnya, waktu pagi pada hari bekerja dan persekolahan merupakan antara tempoh paling sibuk berikutan ramai penduduk singgah mendapatkan sarapan sebelum meneruskan urusan masing-masing.

“Setakat ini, kebanyakan yang datang membeli memang penduduk setempat. Saya rasa masih ramai orang, terutama dari luar Kidurong, yang belum mengetahui kewujudan deretan gerai sarapan di sini,” katanya.
Beliau berharap kawasan itu dapat diperkenalkan kepada lebih ramai orang bagi membuka peluang kepada peniaga kecil meluaskan pasaran dan menarik pelanggan baharu.
Dengan kepelbagaian juadah dan harga yang masih berpatutan, deretan gerai berkenaan bukan sahaja memudahkan penduduk mendapatkan sarapan, malah menjadi sumber pendapatan kepada peniaga kecil yang bergantung pada jualan harian.
Oleh Faizah Muzidi





