Malaysia terima sebuah pesawat tempur ringan FA-50M pertama dari Korea Selatan 

Facebook
WhatsApp
MENTERI Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (lima, kiri) bergambar selepas menyaksikan ketibaan pesawat pejuang ringan FA-50M pertama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Korea Selatan yang singgah transit di Pangkalan Udara Labuan hari ini. Foto Bernama

LABUAN, 30 Oktober: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menyaksikan penerimaan sebuahpesawat tempur ringan FA-50M pertama yang diperoleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali gus menandakan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.

Pesawat itu, yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI), tiba di Pangkalan Udara TUDM Labuan selepas diterbangkan dari Sacheon, Korea Selatan.

Mohamed Khaled berkata majlis penyerahan rasmi pesawat berkenaan dijadual berlangsung pada pertengahan November ini di Pangkalan Udara TUDM Kuantan, Pahang.

“Perolehan ini merupakan perkembangan penting dalam usaha meningkatkan keupayaan ketenteraan negara dan mempertahankan kedaulatan tanah air.

“Ini juga bagi menyokong pembangunan keupayaan jangka panjang TUDM menerusi Pelan Pembangunan Keupayaan 2055 atau dikenali sebagai CAP55,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Udara TUDM Labuan di sini hari ini. 

Beliau berkata kerajaan turut meneliti kemungkinan memperoleh kumpulan kedua pesawat pejuang yang lebih moden dan canggih bagi meningkatkan keupayaan pertahanan udara negara, namun negara asal bagi perolehan itu masih belum dimuktamadkan.

“Sebanyak 18 pesawat FA-50M diperoleh di bawah program Pesawat Latihan Tempur dan Pesawat Tempur Ringan (FLIT-LCA), susulan perancangan TUDM untuk menamatkan operasi pesawat Hawk pada 2028,” katanya.

Mohamed Khaled berkata TUDM dijangka menerima keseluruhan enam pesawat FA-50M menjelang April 2027, manakala baki pesawat akan diserahkan pada awal 2028.

Beliau berkata kementerian akan menentukan jumlah pesawat FA-50M yang akan ditempatkan di Labuan selepas pesawat Hawk ditamatkan perkhidmatannya.

FA-50M merupakan pesawat dua tempat duduk yang berupaya melaksanakan latihan penerbangan anak kapal selain menyokong pelbagai misi operasi yang mencabar.

Pesawat berkenaan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga Mach 1.2 iaitu melebihi kelajuan bunyi, selain berupaya beroperasi pada altitud tinggi.

Bagi memastikan kelancaran operasi skuadron baharu itu, 57 anggota teras termasuk enam juruterbang, enam pegawai kejuruteraan dan 45 juruteknik telah melengkapkan latihan di Korea Selatan.

Kesemua enam juruterbang dalam kumpulan latihan pertama itu juga berjaya menamatkan program latihan penerbangan pada 21 Okt lepas. 

Mohamed Khaled berkata pesawat berkenaan akan dikendalikan oleh No.51 Skuadron yang kini mempunyai lebih 200 anggota, dengan persiapan penempatan operasi tertumpu di Pangkalan Udara TUDM Kuantan. – Bernama