KUALA LUMPUR, 30 Oktober: Walaupun lebih dikenali sebagai pengacara, kecintaan Dayah Bakar terhadap muzik yang berputik sejak zaman persekolahan tidak pernah pudar.
Pernah menghasilkan dua single, iaitu Imam pada 2018 dan Jarak (2023), Dayah kini bakal tampil dengan lagu baharu berjudul Orang Ketiga yang dijangka dilancarkan menerusi saluran YouTube rasminya pada awal November ini.
Dayah, 37, atau nama sebenarnya Nur Hidayah Abu Bakar, berkata projek peribadi itu diusahakan sejak kira-kira tiga tahun lepas.
“Sebenarnya minat Dayah adalah muzik, tetapi rezeki pengacara datang dulu,” jelasnya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Menurut selebriti itu, lagu hasil sentuhan penyanyi, komposer dan penerbit muzik Indonesia Ilham Baso tersebut menyelami kekecewaan individu yang dikhianati pasangan selepas banyak berkorban demi keluarga.
“Dayah sebenarnya mendalami perasaan wanita di luar sana yang selepas segala pengorbanan seperti melahirkan anak, membesarkan anak tetapi akhirnya ditinggalkan. Sebenarnya, kalau orang ketiga ini, lelaki kena, wanita pun kena. Jadi, saya tujukan kepada lelaki atau wanita yang teraniaya,” katanya.
Bagaimanapun lulusan undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu menegaskan lagu tersebut tidak ada kaitan dengan kehidupan rumah tangganya.

Beralih kepada penampilannya yang semakin langsing, Dayah mengakui mengamalkan gaya hidup aktif termasuk bermain bola pikel (pickleball) sejak setahun lepas, selain melakukan senaman menggunakan sawat injak (treadmill) dan kettlebell.
“Bila main pickleball, Dayah dapat kenal ramai orang baharu termasuk rakan-rakan artis. Paling seronok, sukan ini buat Dayah rasa macam kembali ke zaman sekolah dahulu kerana dapat aktif bersukan semula,” katanya.
Bekas pengacara rancangan Borak Kopitiam ini berkata berat badannya kini sekitar 67 kilogram (kg) berbanding 75 kg selepas bersalin, dengan sasaran 65 kg.
Pun begitu, pengacara Malaysia Hari Ini terbitan TV3 itu tidak mahu usaha menjaga penampilan bertukar menjadi obsesi, malah meminta suaminya Kapten Muhammad Hanif Hamidi menegur sekiranya perkara itu berlaku.
Dalam soal pemakanan pula, Dayah berkata beliau hanya mengawal kuantiti pengambilan tanpa mengetepikan makanan kegemarannya, termasuk nasi dan gulai ayam masak lemak masakan ibunya.- Bernama





