Bintang ‘Star Trek’ dan ‘X-Men’, Patrick Stewart meninggal dunia pada usia 86 tahun

Facebook
WhatsApp
GAMBAR fail menunjukkan pelakon British, Sir Patrick Stewart, tiba di acara Star Trek Day anjuran Paramount+ yang berlangsung di Skirball Cultural Center, Los Angeles, California, pada 8 September 2022. Beliau meninggal dunia di kediamannya di Los Angeles pada usia 86 tahun. Foto AFP

LOS ANGELES, 30 Oktober: Pelakon British, Patrick Stewart, yang terkenal menerusi francais filem ‘Star Trek’ dan ‘X-Men’, meninggal dunia di kediamannya di Los Angeles pada usia 86 tahun.

Stewart, yang mula dikenali menerusi lakonan karya Shakespeare sebelum mencipta nama sebagai bintang Hollywood, meninggal dunia pada Rabu selepas menghidap penyakit Alzheimer dan demensia badan Lewy, menurut kenyataan rasmi yang disiarkan menerusi akaun media sosialnya.

Kenyataan itu menyifatkan pemergiannya sebagai penamat kepada “perjalanan singkat dan penuh emosi.”

“Suara lantangnya yang tersendiri serta bakat luar biasanya akan terus dikenang menerusi persembahan lakonan yang meninggalkan kesan mendalam dalam pelbagai genre,” menurut kenyataan itu.

Berasal dari Yorkshire, utara England, Stewart pernah beraksi di pentas teater Britain bersama Royal Shakespeare Company dan National Theatre di London, selain membintangi beberapa penerbitan televisyen tempatan.

Namanya mula melonjak dalam dunia hiburan antarabangsa ketika berusia 47 tahun selepas dipilih membawakan watak Kapten Jean-Luc Picard dalam siri ‘Star Trek: The Next Generation’. Beliau kemudian meraih kejayaan menerusi watak Profesor Charles Xavier dalam beberapa filem ‘X-Men’ dan francais Marvel.

“Beliau meneroka sifat kemanusiaan dalam segala kerumitan dan keindahannya, selain membawa harapan bukan sahaja menerusi Marvel Cinematic Universe, malah ke sempadan terakhir fiksyen sains yang paling ikonik menerusi kapal angkasa Starship Enterprise,” menurut kenyataan itu.

Legasi bersama Starship Enterprise

Stewart berusia 47 tahun ketika pertama kali membawakan watak Picard dalam ‘Star Trek: The Next Generation’, siri televisyen aksi langsung pertama yang dihasilkan sebagai kesinambungan kepada siri fiksyen sains perintis yang diperkenalkan pada penghujung 1960-an.

BUNGA tanda penghormatan diletakkan pada bintang milik Sir Patrick Stewart di Hollywood Walk of Fame pada 29 Oktober 2026. Foto AFP

Beliau mengambil alih peranan Kapten Kirk yang sebelum itu dibawakan oleh William Shatner dalam siri asal dan meraih kejayaan besar menerusi siri televisyen berkenaan serta beberapa filem.

Watak Picard turut dikenali menerusi beberapa ungkapan ikonik, termasuk “Make it so” dan “Engage!”

Bagaimanapun, penghijrahan Stewart ke Amerika Syarikat pada 1987 pada mulanya dipandang rendah oleh akhbar Los Angeles Times yang menyifatkannya sebagai “pelakon Shakespeare British yang tidak dikenali”.

Stewart kemudian menyifatkan tanggapan bahawa beliau merendahkan taraf kerjayanya dengan beralih ke dunia televisyen Amerika Syarikat sebagai satu penghinaan.

Beliau pernah menyatakan bahawa pengalaman membawakan karya Shakespeare “tidak lebih daripada persediaan untuk menduduki kerusi kapten Enterprise”.

Tokoh Besar Pentas Dan Layar Perak

Stewart sekali lagi meraih pengiktirafan menerusi siri filem ‘X-Men’ apabila mula membawakan watak Profesor Charles Xavier, pengasas dan mentor kumpulan adiwira mutan itu pada 2000.

“Selama lebih 25 tahun, beliau memberikan kewibawaan dan kedalaman kepada watak itu, sekali gus meraih peminat di seluruh dunia,” menurut Marvel Studios pada Khamis.

Rakan pelakonnya, Hugh Jackman, yang membawakan watak Wolverine, mengenang Stewart sebagai “antara pelakon terhebat di pentas dan layar perak” serta “sahabat dan insan yang luar biasa.”

Stewart dijadualkan membuat penampilan terakhirnya sebagai Profesor Xavier menerusi filem Avengers: Doomsday yang bakal ditayangkan pada Disember ini.

“Betapa memilukan minggu ini,” tulis Shatner menerusi hantaran di media sosial.

Kematian Stewart merupakan kehilangan kedua dalam kalangan pelakon francais ‘Star Trek’ dalam tempoh beberapa hari, selepas Walter Koenig, yang membawakan watak Chekov dalam siri asal, meninggal dunia.

KAD ucapan penghormatan dengan tulisan tangan ditinggalkan sebagai tanda mengenang pelakon British, Sir Patrick Stewart, yang terkenal menerusi watak Kapten Jean-Luc Picard dalam siri ‘Star Trek’. Foto AFP

Shatner berkata Stewart, yang kali terakhir membawakan watak Picard pada 2023, sentiasa menampilkan “kebijaksanaan, keanggunan dan nilai kemanusiaan yang mendalam” dalam setiap perkara yang dilakukannya.

Stewart menerima empat pencalonan Anugerah Emmy tetapi tidak pernah memenanginya. Bagaimanapun, beliau pernah meraih Anugerah Grammy bagi kategori rakaman perkataan lisan menerusi narasinya untuk karya Prokofiev: Peter And The Wolf.

Walaupun berjaya mencipta nama di Hollywood, kecintaan Stewart terhadap dunia teater, khususnya karya Shakespeare, tidak pernah luntur.

Beliau sering kembali ke pentas teater setiap kali selesai menjalani penggambaran filem dan pernah memenangi dua Anugerah Olivier.

Stewart pernah menyifatkan Shakespeare sebagai “seorang sahabat, seseorang yang hanya keluar sebentar dari bilik untuk mengambil sebotol wain lagi.”

Royal Shakespeare Company menyifatkannya sebagai “tokoh besar dalam dunia teater dan layar perak serta antara pelakon karya klasik Shakespeare terbaik dalam generasinya.”

Permulaan Hidup Yang Penuh Cabaran

Stewart dilahirkan pada 13 Julai 1940 di bandar kecil Mirfield, West Yorkshire, sebagai anak ketiga daripada tiga beradik lelaki dalam keluarga kelas pekerja.

Bapanya, yang pulang selepas Perang Dunia Kedua dan dipercayai mungkin mengalami gangguan tekanan pascatrauma (PTSD), sering memukul ibunya.

Pengalaman itu mendorong Stewart untuk kemudian bekerjasama dengan badan kebajikan Refuge yang memberi tumpuan kepada isu keganasan rumah tangga.

Stewart meninggalkan alam persekolahan pada usia 15 tahun sebelum melanjutkan pengajian di Bristol Old Vic Drama School pada 1957.

Beliau membuat penampilan sulung sebagai pelakon profesional dua tahun kemudian.

Mengalami keguguran rambut pada usia muda, Stewart tidak banyak mendapat tawaran untuk membawakan watak utama romantik yang lazimnya diberikan kepada pelakon muda.

Namun, beliau pantas menyesuaikan diri dengan dunia teater apabila menyertai Royal Shakespeare Company (RSC) pada 1966 dan kekal bersama kumpulan itu sehingga 1982.

Pada awalnya, Stewart menyangka penglibatannya dalam francais ‘Star Trek’ menerusi watak Picard hanya akan bertahan selama satu musim sebelum siri itu dibatalkan. Tanggapan itu ternyata meleset.

“Ia mengubah kehidupan saya,” katanya.

Stewart menerima gelaran kesatria pada 2010 dan pernah berkahwin sebanyak tiga kali.

Perkahwinan pertamanya dengan Sheila Falconer dikurniakan dua cahaya mata, diikuti perkahwinan singkat dengan penerbit ‘Star Trek’, Wendy Neuss, sebelum berkahwin dengan penyanyi Amerika Syarikat, Sunny Ozell, yang 38 tahun lebih muda daripadanya. – AFP

Dolla tawan pentas Paris

KUALA LUMPUR, 29 Oktober: Kumpulan Dolla melakar pencapaian baharu dalam kerjaya seni mereka apabila membuat penampilan sulung di Eropah menerusi The A