KUCHING, 29 Oktober: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian, berharap pasukan bola tampar lelaki dan perempuan bawah 16 tahun (B-16) Bahagian Kuching dapat mempamerkan aksi terbaik pada Kejohanan Bola Tampar Bawah 16 Tahun Sarawak 2026 yang bermula di Sibu, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua pasukan itu diharap dapat beraksi dengan penuh keyakinan, disiplin dan semangat berpasukan bagi mengharumkan nama Bahagian Kuching.
“Tanpa mengira keputusan, saya berharap pengalaman ini dapat membantu atlet muda kita berkembang, menjalin persahabatan dan memupuk minat yang lebih mendalam terhadap sukan bola tampar,” katanya.
Kong berkata, beliau bersama penaja bersama hadir di Kuching Sentral semalam bagi mengiringi kedua-dua pasukan yang berlepas ke Sibu, selain memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada pemain muda berkenaan.
Menurutnya, Bahagian Kuching menghantar seramai 28 pemain, masing-masing 14 pemain lelaki dan 14 pemain perempuan, yang turut diiringi enam jurulatih serta seorang pengurus pasukan.
Kejohanan itu menyaksikan penyertaan tujuh pasukan lelaki dan enam pasukan perempuan dari Kuching, Meradong, Sibu, Sarikei, Bintulu, Miri dan Mukah.
Dalam pada itu, Kong menegaskan bahawa sokongan berterusan serta peluang yang mencukupi amat penting bagi membantu pembangunan bakat muda dalam bidang sukan.
Katanya, pendedahan menerusi kejohanan seumpama itu bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran dan pengalaman pemain, malah membuka ruang kepada mereka untuk menyerlahkan potensi masing-masing.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua pasukan Kuching serta berharap semua pemain dapat memanfaatkan peluang berkenaan sebaik mungkin.
Oleh Connie Chieng




