KUCHING, 29 Oktober: Pengalaman lalu tidak seharusnya menjadi penghalang kepada murid di institusi penjara untuk membina kehidupan lebih baik, sebaliknya perlu dijadikan pengajaran bagi memperbaiki diri dan merancang masa depan.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Rosoman Abu Bakar @ Che Din berkata, murid di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney, Puncak Borneo perlu terus memandang ke hadapan dengan penuh keyakinan serta tidak mengulangi perkara yang boleh merosakkan diri, keluarga dan masyarakat.
Katanya, setiap murid perlu memanfaatkan peluang yang ada untuk bermuhasabah, menimba ilmu, membina kemahiran dan memperkukuh disiplin diri sebagai persediaan menghadapi kehidupan selepas pemulihan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Hijrah Kasih Kali Ke-18 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tahun 2026 di Penjara Puncak Borneo, hari ini.
Menurutnya, kehadiran ibu bapa dan ahli keluarga pada majlis berkenaan turut memberi peluang kepada 66 murid yang menyertai program itu untuk meluangkan masa bersama keluarga, menzahirkan kasih sayang serta memohon kemaafan.
Beliau berkata, pertemuan secara bersemuka dengan keluarga merupakan peluang bermakna yang tidak selalu diperoleh peserta, justeru perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Sehubungan itu, sokongan keluarga diharap dapat menjadi dorongan kepada murid untuk terus berusaha memperbaiki diri dan membina kehidupan lebih baik.
Dalam pada itu, beliau berkata, fungsi institusi penjara bukan sekadar menjalankan hukuman, tetapi turut memberi penekanan kepada pemulihan dan pendidikan modal insan.
Katanya, Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney menyediakan persekitaran yang selamat serta kondusif bagi membantu murid menggilap potensi, membina jati diri dan menyemai harapan baharu.

Program Hijrah Kasih yang bermula sejak 2011 itu memberi tumpuan kepada pemantapan sahsiah, adab dan nilai murni, selain menerapkan ketabahan, disiplin serta keazaman untuk berubah.
Rosoman turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Pendidikan Islam KPM atas kerjasama dan sokongan berterusan dalam menjayakan program pendidikan serta pemulihan sahsiah murid di institusi penjara.
Oleh Afiq Sallehi




