SIMANGGANG, 29 Oktober: Sebatang pokok tumbang menghalang laluan ke kampung di Jalan Paip, Simpang Nyakai, di sini, sebelum berjaya dialihkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dalam satu operasi khidmat khas petang semalam.
Menurut kenyataan BBP Sri Aman, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.30 petang.
Setiba tiba di lokasi, pasukan bomba mengesahkan terdapat pokok tumbang yang menghalang laluan lalu lintas menuju ke kampung terkenaan.
Anggota operasi yang dilengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) kemudian menjalankan kerja pemotongan dan pembersihan pokok menggunakan gergaji berantai.
Tindakan pantas anggota bomba berjaya membersihkan halangan berkenaan sehingga laluan kembali selamat dan boleh digunakan sepenuhnyaoleh semua pengguna jalan raya.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Edwin Jonani dengan bantuan anggota yang menggunakan sebuah jentera Fire and Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Tiada agensi lain dilaporkan terlibat dalam operasi berkenaan dan keadaan di lokasi disahkan selamat selepas kerja pembersihan selesai.
Kejadian itu menjadi peringatan kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan yang mempunyai pokok besar, terutama ketika cuaca buruk yang berpotensi menyebabkan pokok tumbang dan menggangu kelancaran lalu lintas
Oleh Adi Safarman




