Mbappe, Real Madrid dan La Liga berdepan cabaran pulihkan imej di China

Facebook
WhatsApp
ORANG ramai berjalan melewati sebuah bas yang memaparkan imej bintang bola sepak Perancis, Kylian Mbappe, bagi mempromosikan minuman elektrolit ‘Bushuila’ keluaran Dongpeng Beverage Group di sebatang jalan di Shanghai, China. Foto AFP

HONG KONG: Kylian Mbappe, Real Madrid dan La Liga berdepan cabaran besar untuk memulihkan reputasi mereka di China meskipun sudah memohon maaf berhubung kenyataan penyerang Perancis itu mengenai bekas pemimpin China, Mao Zedong.

Kontroversi tercetus selepas satu video tular minggu ini memaparkan Mbappe seolah-olah mempersendakan Mao ketika bercakap mengenai gambar wajahnya yang disunting pada tubuh seorang individu yang disifatkannya sebagai diktator China.

Mao masih dihormati secara rasmi sebagai pengasas Republik Rakyat China dan tokoh revolusi komunis, menjadikan sebarang penghinaan terbuka terhadapnya isu sensitif di negara itu.

Susulan kontroversi berkenaan, beberapa jenama utama China memutuskan kerjasama dengan Mbappe, manakala siaran perlawanan liga utama Sepanyol akan dihentikan di stesen televisyen kerajaan, CCTV.

Dalam tempoh dua hari, Mbappe, Real Madrid dan La Liga masing-masing mengemukakan permohonan maaf, dengan Kementerian Luar China menyatakan Beijing memandang serius permohonan maaf tersebut.

Bagaimanapun, pengulas sukan veteran, Yan Qiang berkata, insiden itu memberi kesan besar terhadap imej Real Madrid dan La Liga di China.

“Permohonan maaf lebih baik daripada tiada langsung, tetapi ia tidak semestinya menamatkan kontroversi ini,” katanya kepada AFP.

Menurutnya, penyebaran pantas maklumat melalui media sosial turut memburukkan keadaan apabila sentimen masyarakat meningkat dalam tempoh singkat.

Kontroversi itu mengingatkan kepada tindakan China terhadap Liga Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) pada 2019 selepas bekas pengurus besar Houston Rockets, Daryl Morey menyuarakan sokongan terhadap penunjuk perasaan Hong Kong.

Ketika itu, siaran NBA digugurkan daripada CCTV selama lebih setahun, dengan liga berkenaan dilaporkan mengalami kerugian ratusan juta dolar.

Kesan besar terhadap kepentingan komersial

Bagi La Liga, China merupakan pasaran penting bersama Amerika Syarikat yang menyumbang sebahagian besar pendapatan hak penyiaran antarabangsa bernilai 748 juta euro (AS$834 juta) bagi musim 2024-2025.

Menurut akhbar Marca, antara 10 hingga 15 peratus jualan jersi dan barangan Real Madrid turut dijana dari pasaran China.

Pengasas firma perunding sukan Key-Solution Sports Consulting yang berpangkalan di Beijing, Adam Zhang berkata, permohonan maaf yang segera dan ikhlas merupakan langkah pertama untuk memulihkan hubungan.

Katanya, tindakan itu boleh mempengaruhi keputusan sama ada sekatan penyiaran diteruskan serta tempoh pelaksanaannya.

Sementara itu, Yan berpandangan reputasi Mbappe di China mungkin sukar dipulihkan sepenuhnya, khususnya selepas pemain berusia 27 tahun itu menjadi wajah utama pelbagai kempen pengiklanan dan penajaan.

“Jika pengaruhnya tidak dapat dikekalkan, kepentingan komersialnya turut terjejas, begitu juga Real Madrid dan La Liga,” katanya.

Beliau menambah, perkembangan seterusnya sukar diramalkan, namun tindakan dan tingkah laku ketiga-tiga pihak selepas ini akan menjadi penentu utama usaha memulihkan imej mereka di China. — AFP

Jun Wei akhiri cabaran di Terbuka HYLO 2026

KUALA LUMPUR, 29 Oktober: Pemain perseorangan lelaki negara, Cheam Jun Wei terpaksa pulang awal apabila terkandas di pusingan pertama Kejohanan Badminton