TBBC Sri Aman raih dua emas, tujuh perak di Kejohanan Tinju Siri 101 JAB Amatur 2026

Facebook
WhatsApp
AWANGKU Hafizi merakamkan gambar bersama petinju TBBC Sri Aman yang berjaya meraih dua pingat emas dan tujuh perak pada Kejohanan Tinju Siri 101 JAB Amatur 2026 di Sibu. Foto Adi Safarman

SIMANGGANG, 29 Oktober: Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) Sri Aman membuktikan kemampuan melahirkan petinju muda berbakat apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas dan tujuh perak pada Kejohanan Tinju Siri 101 JAB Amatur 2026 yang berlangsung di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), Sibu, baru-baru ini.

Presiden TBBC Sri Aman, Awangku Hafizi Awang Azahari, melahirkan rasa syukur dan bangga terhadap pencapaian berkenaan yang disifatkannya sebagai hasil disiplin, komitmen serta kerjasama erat seluruh pasukan.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan sistem latihan yang dilaksanakan kelab berada pada landasan yang baik, selain mencerminkan kesungguhan para petinju menjalani latihan secara konsisten.

Menurutnya, kejayaan tersebut bukan mudah untuk dicapai dan memerlukan pengorbanan dan komitmen berterusan daripada setiap atlet, barisan jurulatih serta pihak pengurusan.

“Saya bersyukur dengan pencapaian petinju muda TBBC Sri Aman yang berjaya meraih dua pingat emas dan tujuh perak.

“Kejayaan ini menunjukkan disiplin serta kesungguhan anda semua dalam mengikuti sistem latihan yang telah kita laksanakan selama ini,” katanya semasa majlis makan malam bagi meraikan petinju TBBC Sri Aman di Medan Selera Awada, malam tadi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan pasukan dan barisan jurulatih yang diketuai Kamaruddin Mohamad serta dibantu Joe Engkujat, Mohd Ishak Wahab dan Subhi Ahmad, selain petinju serta pasukan teknikal yang memainkan peranan penting sepanjang kejohanan.

Awangku Hafizi berkata, kerjasama erat antara pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan menjadi antara faktor yang membantu kelab mencapai keputusan membanggakan itu.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa pengurusan kewangan kelab akan terus diberi perhatian, termasuk usaha mengumpul dana bagi memastikan kelangsungan program latihan dan pembangunan petinju muda.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang penyertaan atlet dalam kejohanan berkenaan.

ANTARA petinju wanita TBBC Sri Aman yang menyertai Kejohanan Tinju Siri 101 JAB Amatur 2026 di Sibu. Foto Adi Safarman

Menurutnya, antara perkara yang paling membanggakan ialah apabila petinju TBBC mula berjinak-jinak dengan sukan tinju seawal usia lapan tahun sebelum menunjukkan perkembangan dan pencapaian yang membanggakan.

Katanya, kejayaan tersebut bukan sahaja mengharumkan nama kelab, malah menjadi kebanggaan kepada sekolah masing-masing.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua petinju supaya tidak mengabaikan pelajaran demi mengejar kecemerlangan dalam sukan.

“Saya selalu berpesan kepada semua petinju supaya tidak memisahkan kokurikulum dengan akademik.

“Teruskan latihan tinju, tetapi pendidikan di sekolah jangan diabaikan kerana itu juga perkara utama untuk kita berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih TBBC Sri Aman, Kamaruddin Mohamad, berharap kejayaan yang diraih pada kejohanan tersebut menjadi batu loncatan kepada pasukan untuk terus meningkatkan prestasi dan mengekalkan pencapaian pada kejohanan akan datang.

Beliau berharap para petinju terus memperkukuh disiplin, meningkatkan kemahiran serta memberikan komitmen tinggi dalam latihan bagi memastikan TBBC Sri Aman terus melahirkan atlet tinju muda yang mampu bersaing pada peringkat lebih tinggi.

Oleh Adi Safarman

Jun Wei akhiri cabaran di Terbuka HYLO 2026

KUALA LUMPUR, 29 Oktober: Pemain perseorangan lelaki negara, Cheam Jun Wei terpaksa pulang awal apabila terkandas di pusingan pertama Kejohanan Badminton