Kualiti udara Sarawak kekal baik dan sederhana, Samalaju catat IPU tertinggi

Facebook
WhatsApp
RAJAH menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di 21 stesen pemantauan di Sarawak setakat 9.00 pagi, 29 Oktober 2026 dengan Samalaju mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 71, pada tahap sederhana.

KUCHING, 29 Oktober: Kualiti udara di kebanyakan kawasan di Sarawak berada pada tahap baik setakat 9.00 pagi ini, manakala beberapa kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sederhana.

Samalaju merekodkan bacaan IPU tertinggi, iaitu 71, diikuti Miri dan Lundu masing-masing mencatatkan bacaan 55, Sri Aman dan Lawas turut merekodkan bacaan 54, manakala Kapit dan Lubok Antu masing-masing mencatatkan bacaan 53 dan 52.

Bacaan IPU pada tahap sederhana turut direkodkan di Bintulu dan Betong, masing-masing dengan bacaan 51 manakala kawasan lain merekodkan bacaan IPU di bawah 51.

Antara kawasan yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap baik ialah Sibu dengan bacaan terendah, iaitu 34, diikuti Samarahan dan Kanowit yang masing-masing merekodkan bacaan 36.

Tebedu dan Limbang masing-masing mencatatkan bacaan 41 dan 42, manakala Bario merekodkan 42, Sarikei (44) dan Lembaga Pelabuhan Miri (45).

Kuching dan Serian masing-masing merekodkan bacaan IPU 48, manakala Mukah mencatatkan bacaan 49.

Berdasarkan klasifikasi IPU, bacaan antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, manakala bacaan antara 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana.

Oleh Afiq Sallehi