SIBU, 28 Oktober: Dua wanita warga China masing-masing dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Sibu hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan terlibat dalam kegiatan pelacuran.
Tertuduh, Wang Ji, 43, dan Ni Shengdan, 47, dijatuhi hukuman itu setelah kedua-duanya mengaku bersalah di hadapan Majistret Romario Jonoi bagi pertuduhan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan.
Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Wang didakwa menawarkan khidmat seks bagi maksud persundalan kepada seorang lelaki di sebuah pusat urut di Raminway pada 25 Oktober, lebih kurang 4.45 petang.
Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis telah menyerbu sebuah premis di Lorong Pahlawan kerana dipercayai ada menawarkan perkhidmatan seks pada hari kejadian.
Ketika memeriksa sebuah bilik yang berpintukan langsir, pihak polis telah menjumpai seorang perempuan dalam keadaan tidak berpakaian bersama seorang lelaki.
Pemeriksan lanjut di dalam bilik tersebut telah menjumpai satu kondom yang telah diguna, lapan kondom yang masih baru, wang tunai RM200, sebotol minyak urut, sebuah telefon bimbit dan pasport negara China.
Manakala, Ni didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah pusat urut di Jalan Rakyat pada 24 Oktober,pada lebih kurang 8.00 malam.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pihak polis telah memantau sebuah premis di Jalan Rakyat dan setelah menunggu hampir 20 minit, satu serbuan telah dilakukan ke atas premis terbabit.
Ketika pemeriksaan di sebuah bilik, pihak polis telah menjumpai seorang wanita warga China dalam keadaan separuh bogel, selain kondom yang telah digunakan, wang tunai RM200 dan minyak urut.
Turut dirampas daripada tertuduh ialah sebuah telefon bimbit dan pasport negara China.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syazani Izzaddin Abdul Muadzam sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Oleh Akun Giman




