Lelaki didenda RM50,000 miliki 12,500 liter diesel tanpa lesen

Facebook
WhatsApp
KOMPLEKS Mahkamah Sibu.

SIBU, 28 Oktober: Seorang lelaki didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Sibu hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 12,500 liter diesel tanpa lesen atau permit yang sah.

Hakim Musyiri Peet memerintahkan tertuduh yang berusia 32 itu dipenjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Terdahulu, tertuduh didakwa memiliki 12,500 liter diesel, iaitu barang kawalan berjadual, tanpa lesen atau permit yang sah di kawasan lapang di Sibu Jaya pada 12 November 2025, kira-kira 10.30 pagi.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama, dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada 12 Julai 2025, kira-kira 3.54 petang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima kes serahan daripada Pasukan Polis Gerakan Am (PGA) Batalion 10 Sibu.

Sitaan dilakukan di lokasi kejadian, iaitu kawasan tanah lapang di Sibu Jaya, melibatkan minyak diesel, sebuah lori, hos minyak dan pam elektrik.

Hasil siasatan mendapati tertuduh memiliki 12,500 liter diesel tanpa lesen atau permit yang sah.

Siasatan turut mendapati tertuduh tidak mempunyai lesen atau permit untuk menjual, menyimpan atau menjalankan perniagaan berkaitan barang kawalan berkenaan.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN, Mahathir Ali dan Rusdi Mohammad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Oleh Akun Giman