PULAU BRUIT, 28 Oktober: Suasana kenderaan memenuhi feri Batang Paloh yang selama ini menjadi antara penghubung penting kawasan pesisir Sarawak bakal menjadi kenangan apabila perkhidmatan itu dijadualkan berakhir susulan pembukaan Jambatan Batang Paloh pada 30 Oktober ini.
Tinjauan Utusan Sarawak semalam mendapati perkhidmatan feri masih digunakan untuk membawa pelbagai jenis kenderaan, termasuk kereta, kenderaan pacuan empat roda dan lori, merentasi sungai tersebut.
Kenderaan yang memenuhi ruang feri memperlihatkan kepentingan perkhidmatan pengangkutan sungai itu kepada pengguna jalan raya sebelum kemudahan jambatan baharu mula beroperasi.
Namun, dalam tempoh dua hari lagi, corak perjalanan di kawasan tersebut dijangka berubah apabila pengguna tidak lagi perlu bergantung pada perkhidmatan feri untuk menyeberangi Batang Paloh.
Jambatan Batang Paloh sepanjang kira-kira 1.7 kilometer yang dijadualkan dibuka pada 30 Oktober ini bakal menyediakan hubungan darat secara langsung, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pengangkutan sungai.
Pembukaan jambatan itu juga dijangka memudahkan perjalanan penduduk, pengangkutan barangan serta pergerakan kenderaan perdagangan yang menggunakan laluan tersebut.
Selain mengurangkan keperluan menunggu giliran menaiki feri, kemudahan jambatan membolehkan pengguna merancang perjalanan tanpa tertakluk kepada jadual perkhidmatan pengangkutan sungai.
Pembangunan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan jalan pesisir Sarawak bagi meningkatkan hubungan antara kawasan luar bandar dengan pusat kegiatan ekonomi.
Sebelum ini, Jambatan Batang Lassa yang dibuka kepada orang ramai pada Januari 2025 telah menyediakan kemudahan hubungan darat antara Pulau Bruit dengan Daro.
Dengan pembukaan Jambatan Batang Paloh pula, jaringan jalan raya di kawasan pesisir dijangka menjadi lebih lengkap, sekali gus memperluas kemudahan perjalanan penduduk ke kawasan sekitar.
Bagi pengguna yang selama ini bergantung pada feri, perubahan tersebut menandakan peralihan penting daripada sistem penyeberangan sungai kepada kemudahan infrastruktur jalan raya yang lebih menyeluruh.
Walaupun perkhidmatan feri bakal menamatkan peranannya di laluan tersebut, sumbangannya sebagai penghubung perjalanan penduduk dan kenderaan selama ini kekal menjadi sebahagian daripada sejarah perkembangan pengangkutan kawasan bekenaan.
Pembukaan Jambatan Batang Paloh pada 30 Oktober ini dijangka menandakan permulaan era baharu perhubungan darat di kawasan tersebut serta menyokong pembangunan dan kegiatan ekonomi masyarakat pesisir Sarawak.
Oleh Earl Anek





