KUCHING, 27 Oktober: Kerajaan Sarawak merancang menubuhkan sebuah sekolah agama antarabangsa yang mampu menampung kira-kira 400 pelajar, termasuk dari kawasan yang mempunyai komuniti Islam minoriti seperti Vanuatu dan Fiji.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu bertujuan memperluas peluang pendidikan kepada anak-anak Islam dari rantau Borneo dan Kepulauan Pasifik, khususnya mereka yang memerlukan sokongan untuk melanjutkan pelajaran.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Tilawah al-Quran Bandaraya Se-Borneo di Kompleks Islam Sarawak, hari ini.
Abang Johari berkata, kerajaan negeri turut merancang menyediakan biasiswa kepada pelajar terpilih yang menunjukkan kebolehan dan potensi dalam bidang akademik.
“Kita memberikan biasiswa kepada mereka yang mahir dan menunjukkan potensi. Kita akan bawa mereka bersama-sama anak-anak Islam yang lain, termasuk anak-anak kita di Sarawak.”


SUASANA Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo 1448H/2026M yang berlangsung dengan kehadiran para tetamu dan jemputan di Kompleks Islam Sarawak.
“Silibusnya bukan sahaja berteraskan pendidikan Islam, malah kita juga menggunakan silibus Cambridge. Dengan itu, apabila anak-anak kita tamat pengajian di sekolah tersebut, mereka boleh berbahasa antarabangsa dan seterusnya menunaikan tanggungjawab meneruskan dakwah Islamiah dalam kalangan masyarakat mereka sendiri,” katanya.
Pendekatan itu diharap dapat melahirkan generasi yang mampu memperluas pengetahuan, menyumbang kepada masyarakat masing-masing dan menyampaikan nilai-nilai Islam dalam persekitaran antarabangsa.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, beliau melihat sendiri keadaan masyarakat Islam di Vanuatu dan Fiji ketika mengadakan lawatan ke kedua-dua negara itu, sekali gus menyedari keperluan untuk memperluas akses pendidikan kepada golongan berkenaan.
Katanya, pelajar dari luar negara itu akan belajar bersama-sama pelajar Sarawak supaya mereka boleh bercampur dan mempelajari di antara satu sama lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Sekolah Menengah Islam Antarabangsa Sarawak (SMAIS) dilaporkan dijadualkan memulakan pengambilan sulung seramai 60 pelajar pada Januari 2027. Menurut laporan terdahulu, pelajar berkenaan akan ditempatkan sementara di Sekolah Rendah Datuk Murtada Haji Daud di Kuching sementara menunggu bangunan sekolah disiapkan, yang ketika itu dijangka siap pada Mac 2027.
SMAIS menawarkan gabungan kurikulum Cambridge dan Program Ilmi berasaskan Kurikulum Al-Azhar, selain hafazan al-Quran. Perancangan sekolah itu merupakan antara usaha memperkukuh pendidikan agama dan akademik di Sarawak.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, wakil Menteri Hal Ehwal Agama Brunei Darussalam, Awang Haji Shamsuddin Haji Umar, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim serta barisan menteri, timbalan menteri dan ketua jabatan.
Oleh Shikin Mahmud




