AADK perkasa peranan penyelia bendung ancaman dadah di tempat kerja

Facebook
WhatsApp
PENGANJURAN Bengkel Latihan untuk Penyelia Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) Tahun 2026. Foto AADK Daerah Kuching

KUCHING, 27 Oktober: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuching terus mempergiat usaha pencegahan penyalahgunaan dadah di tempat kerja menerusi penganjuran Bengkel Latihan untuk Penyelia Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) Tahun 2026, baru-baru ini.

Bengkel yang berlangsung di SMA Creative Heritage Innovation Centre (CHIC) itu bertujuan memperkasakan pengetahuan, kesedaran dan keupayaan penyelia dalam mengenal pasti faktor risiko penyalahgunaan dadah, selain meningkatkan keberkesanan langkah pencegahan dan intervensi awal dalam persekitaran pekerjaan.

Menurut kenyataan AADK Daerah Kuching, inisiatif berkenaan merupakan antara usaha strategik untuk membentuk persekitaran kerja yang selamat, sihat dan produktif melalui penglibatan aktif organisasi serta komitmen bersama pelbagai pihak.

Program itu turut menjadi platform perkongsian ilmu dan pengukuhan jaringan kerjasama antara AADK, agensi kerajaan serta sektor industri bagi memastikan pelaksanaan inisiatif TEKAD dapat dijalankan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Majlis penutupan bengkel disempurnakan Pengarah AADK Negeri Sarawak, Abdul Hamediee Ibrahim.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Noor Seela Noor Sulaiman serta Ketua Zon 1 Kuching, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, PgKB I Janggan Muling, selain wakil agensi kerajaan dan sektor industri yang terlibat.

Kehadiran wakil pelbagai agensi dan organisasi itu mencerminkan sokongan serta komitmen bersama dalam membudayakan persekitaran pekerjaan yang bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah.

Melalui pelaksanaan TEKAD, penyelia bukan sahaja bertanggungjawab memastikan kelancaran operasi organisasi, malah berperanan penting dalam mengesan tanda-tanda awal risiko penyalahgunaan dadah serta menyokong tindakan pencegahan yang bersesuaian.

Peranan itu juga penting dalam membentuk budaya kerja yang prihatin, berintegriti dan mengutamakan kesejahteraan pekerja, sekali gus membantu melindungi produktiviti serta keharmonian organisasi.

AADK Daerah Kuching turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah AADK Negeri Sarawak, pihak SMA Creative Heritage Innovation Centre, semua tetamu jemputan, agensi dan organisasi terlibat serta peserta atas kerjasama dalam menjayakan bengkel berkenaan.

Usaha bersepadu itu diharap dapat terus diperkukuh bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, sekali gus merealisasikan aspirasi mewujudkan tempat kerja yang selamat, sejahtera dan bebas dadah.

Oleh Adi Safarman