APM Saratok berjaya tangkap anak ular sawa batik di tandas berek JKR

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM berjaya menangkap seekor anak ular sawa batik sepanjang kira-kira 0.6 meter yang ditemukan di dalam tandas sebuah berek JKR Saratok. Foto APM Saratok

SARATOK, 27 Oktober: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok berjaya menangkap seekor anak ular sawa batik sepanjang kira-kira 0.6 meter yang ditemukan di dalam tandas sebuah berek Jabatan Kerja Raya (JKR, semalam.

Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 9.10 malam, yang memaklumkan mengenai kelibat seekor ular di lokasi berkenaan.

Menurutnya, tiga anggota APM Saratok digerakkan ke lokasi pada 9.11 malam dan tiba tujuh minit kemudian bagi menjalankan operasi pencarian

“Hasil pemeriksaan dan pencarian selama beberapa minit mendapati benar terdapat seekor anak ular sawa batik di dalam tandas berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, anggota yang terlibat terlebih dahulu memastikan pemakaian kelengkapan perlindungan diri (PPE) sebelum memulakan operasi bagi memastikan keselamatan sepanjang menjalankan tugas.

Anak ular berkenaan berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit dengan bantuan peralatan khas oleh tiga anggota Skuad Alpha APM Saratok.

Operasi yang melibatkan tiga anggota itu selesai pada 9.25 malam, dengan jarak perjalanan kira-kira lima kilometer sehala dari pangkalan.

Tindakan pantas anggota APM berjaya menyelesaikan operasi berkenaan tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan dalam maklumat operasi.

Orang awam dinasihatkan supaya tidak cuba menangkap atau menghampiri ular yang ditemukan, sebaliknya menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan bagi mengelakkan risiko keselamatan.

Oleh Adi Safarman