KUCHING, 27 Oktober: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas di sini, pada 6 November ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 yang berkuat kuasa pada 26 Oktober lalu.
Dalam kenyataan hari ini, SPR memaklumkan pihaknya telah menerima surat rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, berhubung pembubaran berkenaan.
Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Dato’ Sri Ramlan Harun, dengan antara perkara yang akan dibincangkan termasuk tarikh pengeluaran writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian serta daftar pemilih yang akan digunakan.


KENYATAAN media Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berhubung penerimaan pemakluman pembubaran Dewan Undangan (DUN) Sarawak ke-19 dan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 pada 6 November 2026.
Selain itu, mesyuarat berkenaan turut membincangkan persiapan lain bagi memastikan PRN Sarawak ke-13 dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menurut Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.
Pembubaran DUN Sarawak ke-19 berkuat kuasa pada 26 Oktober 2026, selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak.




