Belanjawan 2027: Peningkatan bantuan OKU ringankan beban keluarga

Facebook
WhatsApp
Peningkatan bantuan kewangan dan kemudahan pendidikan serta penjagaan menerusi Belanjawan 2027 dijangka membantu meringankan beban keluarga yang mempunyai anggota Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya dalam menampung kos pendidikan, rawatan dan keperluan perubatan.

SHAH ALAM, 27 Oktober: Kos pendidikan, rawatan dan peralatan perubatan yang perlu ditanggung secara berterusan menjadi cabaran bagi keluarga Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya mereka yang mempunyai anak berkeperluan pendidikan khas atau menjaga ahli keluarga terlantar.

Sehubungan dengan itu, peningkatan bantuan kewangan serta peluasan kemudahan pendidikan dan penjagaan menerusi Belanjawan 2027 disifatkan sebagai langkah penting untuk meringankan beban berkenaan, selain membantu golongan OKU menjalani kehidupan lebih berdikari dan sejahtera.

Presiden Majlis Belia OKU Malaysia Muhammad Ghazali Othman berkata kenaikan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas daripada RM150 kepada RM200 sebulan, yang memanfaatkan 150,000 murid termasuk kanak-kanak autistik, dapat membantu ibu bapa menampung kos pendidikan dan penjagaan anak mereka.

Beliau yang mengalami ketidakupayaan saraf tunjang sejak kecil berkata murid berkeperluan pendidikan khas adalah generasi pelapis komuniti OKU yang perlu diberikan sokongan sewajarnya sejak di bangku sekolah.

“Kenaikan elaun itu secara jelas dapat membantu memenuhi keperluan murid serta memudahkan urusan penjagaan anak OKU oleh ibu bapa.

“Justeru, ibu bapa diharap memanfaatkan bantuan itu dan mempunyai kesedaran tinggi untuk mendaftarkan anak dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, tanpa stigma bahawa mereka hanya mahu membesarkan anak di rumah,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Ghazali berharap inisiatif berkenaan bukan sahaja diteruskan, malah ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan golongan OKU terus terbela.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Aizan Sofia Amin berkata peningkatan ambang pendapatan bagi melayakkan seseorang menerima Elaun Pekerja OKU daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan dapat membantu golongan itu mendepani peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata langkah itu juga berpotensi menggalakkan lebih ramai OKU bekerja dan berdikari, selain membantu mereka menampung perbelanjaan tambahan berkaitan keperluan harian, rawatan serta peralatan perubatan.

“Inisiatif itu amat signifikan kerana menggalakkan lebih ramai OKU untuk bekerja dan berdikari, sama seperti orang lain sebab kita sedar perbelanjaan OKU juga tinggi, antaranya bagi keperluan perubatan dan peralatan sehingga mereka terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membelinya,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden merangkap Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti Universiti Selangor Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh berkata peningkatan bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik daripada RM500 kepada RM600 sebulan turut membantu meringankan beban keluarga serta penjaga yang memikul tanggungjawab berkenaan.

“Penjagaan pesakit itu memerlukan kos yang tinggi, antaranya bagi membeli peralatan dan keperluan perubatan,” kata penerima Anugerah Tokoh Inklusif OKU Selangor itu, yang mempunyai anak terlantar akibat menghidap palsi serebrum.

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata peningkatan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 berpotensi membantu meringankan beban kewangan pembayar cukai, termasuk mereka yang menanggung perbelanjaan penjagaan ahli keluarga.

“Ini menjadi pemangkin kepada individu pembayar cukai untuk berbelanja lebih bagi penjagaan OKU, termasuk keperluan peralatan, perubatan dan intervensi,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lepas mengumumkan peningkatan peruntukan keseluruhan bantuan OKU kepada RM1.5 bilion bagi memanfaatkan lebih 300,000 individu.

Selain bantuan kewangan, kerajaan turut merancang membina dua Pusat PERMATA Kurnia di Melaka dan Pahang, membuka lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu di kawasan desa serta menaik taraf 15 premis Pemulihan Dalam Komuniti kepada Pusat Terapi Khusus bagi memperluas akses kepada kemudahan pendidikan, intervensi dan terapi untuk golongan berkenaan. – Bernama

SKS 2026 di Sri Aman sasar 100,000 pengunjung

SIMANGGANG, 27 Oktober: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Selatan Bahagian Sri Aman menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 100,000 pengunjung sepanjang tiga